Salmiyah Harun |
KUALA LUMPUR, 11 Feb (Hrkh) - Menteri Besar Perak yang sah Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin wajar menjalankan tugas hakikinya sebagai Menteri Besar walaupun dinafikan hak itu.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar mengharap Nizar meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar seperti biasa walaupun ada halangan oleh mereka yang tidak bertangungjawab.
Katanya, biarpun pihak BN menggunakan pelbagai halangan termasuklah menghalau Nizar dari rumah kediaman rasminya beliau boleh melaksanakan 'open office' bersama-sama barisan Exconya.
"Yang penting, Nizar dan exconya turun padang untuk melihat sendiri masalah rakyatnya, biar rakyat lihat kita tidak melupakan mereka walaupun dalam keadaan tidak menentu ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Sementara itu, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr Mohamad Nasir Hashim pula berpandangan kemelut yang berlaku di Perak itu akan menyukarkan Nizar dan Zambry melakukan tugasnya.
Untuk menyelesaikan kemelut itu, katanya biarlah ia berbalik kepada rakyat untuk menentukan sama ada Nizar atau Zambry yang akan menjadi pilihan rakyat.
"Bagi saya berilah peluang Nizar untuk bersidang dan bentangkan kepada dewan negeri untuk menentukan sama ada dibawa kepada sultan untuk dibubarkan," katanya.
Tegasnya, jika tidak dibubarkan suasana politik tetap akan terumbang-ambing walaupun Nizar ditarik keluar.
Ini kerana katanya, rakyat memang tidak berpuas hati, selagi rakyat seperti itu kerajaan akan terus bercelaru
Semalam, Nizar tetap menghadirkan diri ke pejabatnya di bangunan Setiausaha Kerajaan Darul Ridzuan seawal pagi biarpun tahu pihak keselamatan bertindak menghalangnya. - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan