"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PERAK – Retak Membawa Belah (Bhgn 3)

Keadaan politik di Perak semakin jadi kelam-kabut. Dr. Zambery Abdul Kadir sudah pun ditabalkan menjadi menteri besar baru, sedangkan Menteri Besar Ir. Nizar masih lagi bertahan di pejabat beliau. Malahan pada hari Sabtu lalu, Ir. Nizar telah mengadakan mesyuarat Exco yang meluluskan beberapa ketetapan.

Salah satu ketetapan itu ialah membuka lapangan terbang Ipoh kepada penerbangan Fire Fly, sebuah anak syarikat MAS. Ini satu perkara yang tentu menceriakan masyarakat Ipoh terutamanya orang perniagaan. Semasa Tajol berkuasa dia menyekat pembesaran landasan terbang Ipoh dengan membina bangunan Kelab Penerbangan di bahagian hujung landasan dan sekali gus tidak membenarkan pembesaran landasan itu. Muslihatnya ialah beliau mahu membuka satu lapangan terbang baru di Tronoh yang menelan belanja RM tiga ratus juta. Inilah salah satu punca kenapa masyarakat Cina menolak Tajol Rosli dan menghukum Barisan Nasional dalam pilihan raya umum yang lalu.

Saya memang tertarik hati dengan cara Nizar mentadbir negerinya. Walaupun baru sebelas bulan beliau menjadi Menteri Besar, banyak sungguh perubahan yang dilakukannya dalam pentadbiran negeri salah satu contoh yang baik patut dirakamkan dalam tulisan ini ialah bagaimana dia mengubah ‘system’ bayar tiket parking di seluruh Perak. Pada satu ketika dahulu, sesiapa yang menggunakan tempat letak kereta kelolaan Majlis Bandaran, perlu membeli tiket parking khusus untuk sesuatu daerah ataupun majlis perbandaran. Kalau meletak kereta di Ipoh mestilah gunakan kupon khas untuk Ipoh, dan tidak boleh gunakan kupon yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaran Kuala Kangsar ataupun Telok Intan. Apa yang Nizar buat ialah meluluskan satu dasar betapa kupon diseragamkan dan boleh digunakan di mana daerah ataupun wilayah di merata negeri. Dalam sekelip mata, cara pentadbiran Kerajaan pimpinan Tajol Rosli telah diubahnya untuk keselesaan rakyat.

Bayangkan apa yang berlaku semasa Tajol Rosli. Mereka import mesin berkomputer berharga berjuta-juta ringgit semata-mata untuk membolehkan kumpulan tertentu membalun harta. Saya pernah komen tentang pembelian mesin-mesin berkomputer itu satu ketika dahulu, dan apa yang saya hujahkan sudahpun menjadi kenyataan. Bayangkan membelanjakan lebih tiga puluh juta ringgit sebagai ‘parking meter’ dan tidak sampai dua tahun digantikan kerana mesin yang selalu rosak ataupun sengaja dirosakkan?

Banyak lagi perubahan yang telah dilakukannya sepanjang sebelas bulan Ir. Nizar menerajui kerajaan PR. Sayangnya semua ini tidak banyak diketahui umum di luar Perak kerana kurang publisiti. Lagi pun, kebaikan semacam ini mendedahkan kebobrokan pemerintahan kerajaan BN pimpinan Tajol Rosli dan Ramly Ngah Talib.

Salah satu lagi kebaikan yang telah dibawakannya ialah dengan pemberian geran kekal kepada penghuni Kampung Baru (Kem) Cina di seluruh negeri Perak. Tindakan ini telah diperbesarkan oleh orang Melayu dan UMNO kerana mereka fikir penduduk Kampung Cina itu tidak layak mendapat geran hak milik kekal..

Satu ketika dahulu semua kampung baru yang berjumlah lebih 420 buah di merata negara telah dikuasai oleh Ong Ka Ting, seorang menteri kerajaan tempatan yang merangkap Ketua MCA. Apabila Pakatan Rakyat berkuasa di Perak, mereka telah membuat kajian pembangunan di setiap kampung baru Cina di Perak dan mendapati betapa banyak penyelewengan wang yang dilakukan atas nama pembangunan. Namun, tidak pula diperbetul masalah hak milik penghuni dan penduduk di kampung itu. Ada yang mendapat hak milik hanya untuk tiga puluh tahun dan ada yang dapat untuk enam puluh tahun. Ir., Nizar telah membuat ketentuan memberikan hak milik kekal kepada semua pemilik rumah di kampung-kampung baru. Perkara ini memang menaikkan amarah UMNO dan orang Melayu, tetapi kalau kita bercakap tentang hak asasi tentulah kita akur bahawa tindakan Nizar adalah adil dan bijaksana.

Sayangnya khidmat yang ikhlas ini tidak dihargai oleh pihak istana yang mungkin menerima hasutan daripada golongan UMNO yang semacam gila talak sepanjang sebelas bulan yang lalu.

Soalnya sekarang, tindakan Sultan sudah menaikkan amarah rakyat walaupun TV dan radio menyarankan sebaliknya. Proses demokrasi dalam pilihan raya yang lalu jelas menunjukkan bahawa rakyat yang telah memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri Perak. Kenapa pula Sultan menukar proses ini? Kalau betul baginda fikir Pakatan Rakyat tidak mendapat sokongan rakyat lagi, cuba biarkan proses demokrasi berterusan dan benarkan pilihan raya umum diadakan semula. Biar semua parti politik merujuk perkara ini kepada rakyat untuk mendapat mandat yang baru.

Penulisan saya ini bukan bertujuan mengkucar-kacirkan keadaan di Perak. Ini tulisan untuk generasi yang akan datang. Tidak kiralah apa kata orang Umno ataupun orang Keadilan, waima orang istana sendiri. Kita mesti kupas masalah krisis Perak ini dengan rasional supaya generasi depan tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Selepas ini kalau generasi depan marahkan institusi diraja dan juga UMNO mereka mesti tahu apa sebabnya.

Generasi saya adalah satu kandang dengan generasi Sultan Perak dan Mahathir Mohammad dan Abdullah Ahmad Badawi. Cuma Paklah dan saya tergolong kepada golongan junior dalam generasi tua ini

Najib Tun Razak dan Anwar Ibrahim serta Zahid Hamidi termasuk dalam satu kelas generasi yang lain. Begitu juga Abdul Rahim Tamby “Tak” Kecik yang kini menjadi Pengerusi RISDA dan Muhamad Muhammad Taib menteri kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang satu ketika dahulu merupakan Menteri Besar Selangor dan jatuh tersungkur setelah melarikan beberapa puluh kilo wang Malaysia ke Australia.

Selama sebelas bulan Ir. Nizar menerajui Perak perjalanan negeri berjalan lancar walaupun Kerajaan Pusat menyekat sumbangan dana kepada kerajaan negeri. Wang kerajaan Persekutuan telah disalurkan kepada badan-badan milik UMNO ataupun melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Apabila perkara ini berlaku, tentulah Paduka Sultan sedar dan setuju bahawa ini satu perkara yang tidak betul. Tentu Paduka Sultan tahu kisah pejabat KEMAS yang dikosongkan oleh petugasnya yang merupakan orang-orang UMNO. Mereka telah mengosongkan pejabat KEMAS dan membawa balik semua peralatan, perabot termasuk penghawa dingin di bangunan itu sehinggakan kosong pejabat KEMAS dan tidak boleh digunakan lagi. Begitu juga dengan peralatan Bangunan Dewan Orang Ramai. Mereka tanggalkan segala kelengkapan dan ‘fittings’ yang ada kerana berkata semua ini adalah milik kerajaan UMNO. Bayangkan perkara begini  berlaku di seluruh negeri Perak, tetapi Sultan tidak pun bersuara.

Rakyat Perak merupakan sebuah masyarakat yang amat setia kepada raja. Sejarah rakyat Perak penuh dengan kisah rakyat bangkit untuk mempertahankan institusi raja. Walaupun raja bersikap aneh dan bercanggahan dengan tatasusila golongan istana.

Sudah menjadi lumrah, orang Melayu menjadi terlalu taksub bila berdepan dengan isu sultan. Ini menjadi semakin hebat dengan tersiarnya kisah kedaulatan raja dan ketulahan rakyat yang menderhaka kepada raja.

Satu ketika dahulu tersebut kisah pembunuhan Penasihat British di Perak, J.W. Birch yang dibunuh oleh orang Melayu kerana tidak bersetuju dengan perangai penasihat ini memperbudakkan raja Melayu. Di sinilah munculnya nama seperti Datuk Sagor yang terlibat dengan kisah itu.

Semasa Raja Abdullah dihalau keluar sebagai orang buangan negeri oleh British, dia diarah hidup merempat di Kepulauan Seychelles dan zuriat orang Melayu Perak kini jelas kelihatan di sana.

Oleh kerana konsep kedaulatan dan ketulahan inilah makanya rakyat Perak sanggup bersikap toleran terhadap raja mereka. Sebelum Sultan Azlan naik takhta, Raja Perak bernama Sultan Idris, Almarhum Tuanku adalah seorang yang ‘flamboyant’ yang suka dengan cara hidup mewah dan mudah.

Semasa Raja Idris memegang tampuk kesultanan, baginda suka berfoya-foya mengadakan majlis hiburan di mana baginda menunjukkan kemahiran bermain saksofon. Kalau ada sambutan hari jadi baginda, majlis sambutannya diadakan selama satu bulan di perkarangan istana. Di sana akan ada satu suasana ‘funfare’ di mana rakyat akan pergi berbondong-bondong setiap malam menghabiskan masa bermain bermacam jenis mainan, seolah-olah itu adalah satu pesta judi kecil. Persiapan pula diadakan di setiap pelusuk kampung dan negeri di mana rakyat akan bergotong-royong menyumbang lembu dan kambing sebagai korban makan kenduri.

Rakyat tidak membantah, malahan mufti dan imam tidak bersuara dengan gelagat istana dan raja mereka. UMNO yang merupakan parti pemerintah tumpang sekaki dan setuju sahaja.

Raja Idris mempunyai satu perangai yang suka pada perempuan. Hidup baginda memang menepati kisah raja Melayu dahulu kala di mana raja mempunyai ramai gundiknya. Jadi, siapa yang pandai membekalkan gundik pastinya menjadi orang ataupun kumpulan yang disayangi raja. Semua itu atas nama kedaulatan raja dan ketulahan rakyat yang menderhaka kepada raja.

Gara-gara kefahaman songsang inilah sesiapa yang ingkar dengan nafsu serakah raja akan dihalau keluar negeri. (Kefahaman inilah juga membuatkan ayah Datuk Ibrahim Ali dihalau keluar negeri Kelantan kerana sikapnya sebagai “Kaki Gedebe”. Beliau dihalau daripada bumi Kelantan dan berpindah ke Buluh Kasap Johor.)

Pada satu ketika dahulu Raja Idris telah menghalau keluarga orang Melayu yang menolak keinginannya untuk memperisterikan salah seorang anak gadis mereka. Ini telah berlaku kepada seorang penyanyi bernama Mazwin Hamzah apabila Mazwin enggan menjadi isteri baginda. Keluarga Mazwin diarah pindah keluar negeri Perak. Allah Maha Besar, Mazwin telah menemui jodoh dengan adik kepada Sultan Brunei.

Apapun kesan daripada sikap Raja Idris yang suka dengan majlis “Yamyam” berakhir dengan baginda mangkat ketika menikmati majlis itu. Pada satu ketika dahulu saya tidak tahu apa maksud kawan yang menyebut Majlis Yam yam itu kerana itu adalah kod istilah yang diciplak daripada bahasa Cina. Rupanya ini adalah istilah yang ada kena mengena dengan “Yam Char”, Yam Seng’ dan Yummi. Semuanya ada kena mengena dengan rasa nikmat di lidah rupanya.,

Walaupun Raja Idris sudah lama mangkat, membolehkan Raja Azlan naik takhta dan kini menyambut Jubli Perak baginda, banyak juga peninggalan Raja Idris di istana Bukit Chandan. Salah satu peninggalan Raja Idris ialah makhluk ghaib yang masih menghuni di istana itu. Makhluk Ghaib ini menjadi satu benda ghaib yang tidak menyenangi Tuanku Bainun isteri kepada Raja Azlan. Orang Perak kata Raja Permaisuri Perak itu tidak selesa menetap di istana Bukit Chandan di Kuala Kangsar. Dia boleh pergi ke istana itu pada siang hari tetapi sebelum Maghrib dia mesti keluar daripada perkarangan istana. Orang Perak kata Tuanku Bainun tidak tahan “kerajan”. Inilah sebabnya Sultan Azlan jarang sangat menginap di istana Bukit Chandan

Ini juga sebabnya sebahagian Istana Kinta sedang diubah suai sekarang untuk memudahkan keluarga raja hidup senang lenang di Ipoh, gara-gara Tuanku Bainun tidak boleh tinggal di istana Bukit Chandan pada malam hari.

Pelik juga kisah ini kerana orang Perak berkata makhluk ghaib di istana itu adalah peninggalan Raja Idris yang mahukan hanya orang-orang yang betul-betul berdarah raja menetap di istana. Tuanku Bainun bukan datang daripada keluarga beraja. Dia adalah berasal darah orang biasa daripada Parit Buntar.

Yang anehnya, Tuanku Bainun dikatakan oleh rakyat Perak sebagai insan yang lupa asal usul beliau daripada darah biasa. Ini menjadi bualan mulut rakyat apabila Tuanku Bainun dikatakan menegah Raja Nazrin menikah dengan kekasih hatinya, seorang gadis Melayu yang cantik dan jelita serta mempunyai sedikit darah istana. Gadis itu bernama Wan Zaleha Radzi yang satu ketika dahulu terkenal dengan Program TV Tiga. Akhirnya Wan Zaleha menikah dengan seorang Mat Salleh.

Sebenarnya gelagat golongan istana Perak ini memang cukup menarik walaupun Raja Idris sudah lama mangkat. Kira-kira lima tahun dahulu, tersebut kisah pembunuhan isteri kedua Raja DiHilir yang telah dibunuh dan di humban ke sungai. Isteri Kedua yang malang itu bernama Intan Suraya. Polis telah mendapat maklumat siapa yang membunuhnya. Beberapa orang petugas istana telah ditangkap dan disumbat dalam lokap dan penjara. Isteri pertama Raja DiHilir telah dipanggil oleh polis untuk disiasat. Tetapi Raja Mahani (kalau saya tidak silap namanya) telah dibawa ke sebuah kamar besar di Hotel Istana Kuala Lumpur untuk polis mendapatkan maklumat. Akhirnya beliau tidak dibabitkan, sebaliknya beberapa orang petugas istana telah dikenakan hukuman dan terpaksa meringkuk dalam penjara. Saya percaya satu hari nanti cerita sebenar siapa yang membunuh Intan Suraya akan terbongkar juga. Saya tidak mahu dedahkan apa yang saya tahu kerana ia tidak akan mengembalikan nyawa Intan Suraya.

Bila kita menyebut nama Raja Idris tentu rakyat Perak sedar bahawa yang sepatutnya memegang jawatan Raja Muda sekarang ini bukanlah Raja Nazrin. Kalau mengikut salasilah Kesultanan Negeri Perak, yang patut menjadi Raja Muda Perak sekarang ialah Raja DiHilir yang merupakan waris kepada Raja Muda Musa. Akan tetapi, Raja Azlan telah merobah batang tubuh Perlembagaan Negeri Perak dan mengisytiharkan anak baginda Raja Nazrin sebagai Raja Muda, dengan melangkaui dua keluarga ia itu pewaris daripada keluarga Raja Muda Musa (Raja DiHilir) dan keluarga Raja Idris Shah (Raja Kecil Besar). Kedudukan Raja Nazrin sepatutnya ialah sebagai Raja Kecil Sulung, satu kedudukan setingkat di bawah Raja Kecil Besar.

Nampaknya bila menyebut demokrasi ada satu bentuk demokrasi untuk rakyat marhaen dan satu bentuk demokrasi pula bagi golongan raja. Malahan sekarang ini ada satu bentuk demokrasi untuk orang Melayu UMNO.

Berbalik kepada kisah Sultan Azlan, baginda seronok sungguh sekarang ini kerana semua berita dan TV kerajaan menyiarkan berita betapa salah besar kalau rakyat derhaka dan menentang sultan. Malahan mufti Perak yang selalunya bersuara lantang pun tumpang sekaki mengatakan adalah berdosa kalau kita menentang raja.

Seperti yang saya katakan, saya dan Sultan Azlan adalah tergolong satu generasi. Saya masih teringat selalu bertemu dengan beliau ketika kami sama-sama pergi makan dan minum di Kelab Golf DiRaja Selangor (Royal Selangor Golf Club). Ketika itu, kebanyakan orang Melayu yang menjadi ahli Kelab itu adalah golongan istana ataupun pegawai kerajaan. Orang putih dan bukan Melayu kebanyakannya daripada syarikat swasta. Saya masih ingat Raja Azlan kerap ke kelab itu untuk duduk semeja dengan beberapa kawan baginda. Saya ke situ untuk menikmati hidangan makanan yang lazat dengan harga patut. Salah seorang Melayu daripada syarikat swasta ketika itu ialah Rahim Razali (Datuk sekarang ini) Tentu Rahim akan membuat pengakuan bahawa salah satu sebab kami suka ke ruang makan RSGC ialah kerana hidangan Kopi ‘O’ Keras yang memang lazat.

Kalau saya tidak silap ketika itu Rahim Razali adalah seorang pengarah Syarikat Lintas Advertising. Saya dan Rahim Razali jarang bercakap di dewan makan itu tetapi angguk sahaja sambil menjeling arah meja di mana ada seorang Melayu di kelilingi beberapa orang Cina menikmati juadah mereka. Setiap kali si Melayu ini datang ada sahaja sebotol-dua minuman brandi “Johnny Walker” di atas mejanya. Itu sebabnya generasi saya yang selalu pergi ke RSGC menggelarkan Melayu ini dengan nama Mr. Johnny Walker.

Apa yang saya maksudkan ialah orang Melayu tidak ambil kisah apakah seseorang itu suka minum brandi ataupun bir ataupun wiski ataupun kopi ‘o’ sahaja. Apakah orang Melayu yang berseronok dengan minuman keras itu seorang Melayu marhaen ataupun golongan berdarjat. Ataupun apakah dia mengambil minuman keras itu dalam bilik makan rumahnya ataupun secara terbuka, kerana minuman keras adalah dikira haram di kalangan penganut agama Islam. Tetapi orang Melayu akan begitu prihatin kalau ada kaumnya yang makan daging babi. Sedangkan babi dan brandi adalah sama haramnya.,

Begitu juga di zaman Tunku Abdul Rahman dahulu, setiap hujung minggu Tunku dan para sultan akan berbondong-bondong ke Kelab Lumba Kuda Kuala Lumpur (yang kini menjadi tapak Menara Berkembar KLCC) melihat sukan lumba kuda. Mereka diiringi dengan kawalan polis untuk melihat kuda berlari. Tetapi orang bukan Melayu ke sana untuk berjudi. Sama ada Tunku dan raja-raja turut berjudi, tidak ada siapa yang ambil peduli kerana sewaktu itu para mufti dan imam tidak berani bersuara untuk menegurnya.

Begitulah juga sikap Melayu dengan pembesarnya. Sikap tidak berapa ambil peduli orang Melayu terutama sekali golongan marhaen menjadikan kita sekarang ini satu bangsa yang sungguh rendah tahap ekonominya.

Dari sudut ekonomi kita berada di bahagian bawah sekali. Di negara ini ekonomi negara diterajui bangsa Cina, yang kedua ialah golongan Punjabi ataupun Benggali. Yang ketiga ialah kaum India. Bangsa Melayu jatuh tercorot sekali.

Kalau ada puak yang mengatakan orang Melayu sudah maju berbanding bangsa lain, puak itu memang tersilap besar. Seperti yang saya katakan dahulu ada tiga jenis orang Melayu sekarang ini:  a) Melayu istana, (b) Melayu UMNO dan (c) Melayu bukan UMNO. Yang hidup merempat dan serba kekurangan sekarang ini ialah Melayu bukan UMNO. InsyaAllah akan kita bincangkan perkara ini dalam siri seterusnya.

Berbalik kepada isu politik Perak, sekarang ini semua pihak dalam kerajaan dan UMNO membesar-besarkan isu “Jangan derhaka kepada raja”. Apakah yang dikatakan derhaka? Apakah mempertikaikan tindakan raja satu perbuatan derhaka?

Pengerusi DAP, Karpal Singh mahu menyaman Sultan Azlan Shah. Sebagai seorang peguam berpengalaman, tentu dia tahu apa yang mahu dibuatnya. Tentu dia yakin akan menang daripada sudut undang-undang. Tetapi, Anwar Ibrahim telah menolak sikap Karpal Singh. Anwar tidak mahu Sultan ditarik ke mahkamah dan kerana itu Karpal Singh naik marah secara terbuka dan mengatakan Anwar tidak layak menjadi Ketua pakatan Rakyat. Dalam tulisan saya yang lepas, saya bersuara lantang mengatakan di mana Anwar Ibrahim tersilap. Tetapi sekali lagi saya tidak bersetuju dengan Karpal dalam tohmahannya terhadap Anwar. Kesilapan utama Anwar dalam krisis politik Perak ini ialah beria-ia dan menyibuk mahu mengepalai pasukan menentang UMNO dan BN. Sepatutnya kerja itu dibuat oleh Karpal Singh dan Lim Kit Siang.

Apabila kita ambil kira kisah menyaman Sultan, kita lihat TKT Mahathir pun tidak suka perbuatan itu. Beliau ada berkata: Sebagai seorang Melayu, saya juga terguris, tidak gembira dengan perkembangan terbaru ini terutama tindakan Pengerusi DAP Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Amboi...sedap cakap TKT Mahathir. Cuma kita mahu para pembaca ingat apakah yang dibuat oleh Mahathir semasa dia menjadi perdana menteri? Bukankah dia orang yang menjadi dalang menukar Perlembagaan Malaysia yang menarik imuniti raja-raja Melayu? Bukankah dia arahkan semua kerajaan BN dan UMNO negeri mengubah Perlembagaan negeri agar raja-raja Melayu hilang imuniti mereka? Apa gunanya dia merancang penarikan imuniti itu kalau raja tidak boleh ditarik ke mahkamah? Bukankah Mahathir yang menyebut satu ketika dahulu, bahawa dalam dunia moden suara rakyat adalah raja?

Dengan pemansuhan imuniti raja, apa sahaja yang diputuskan oleh Parlimen mesti dipersetujui oleh raja. Kalau rang undang-undang diluluskan di Parlimen raja mesti setuju dan menurunkan tandatangannya.

Berdasarkan fakta ini, itu sebabnya mungkin kenapa Ir. Nizar enggan keluar daripada rumah kediamannya dan masih menjalankan tugas sebagai menteri besar. Kerana undang-undang Perak mengatakan Sultan tidak ada kuasa memecat menteri besar. Pemecatan Menteri Besar hanya boleh dilakukan oleh Dewan Undangan Negeri ataupun selepas undi tidak percaya diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri itu.

Jika benar fakta ini, undang-undang mana yang digunakan oleh UMNO dan BN untuk menegakkan satu kerajaan baru di Perak? Apakah dasar makanya UMNO mengatakan Ir. Nizar adalah seorang menteri besar haram?

Sesungguhnya sejarah akan menyerlahkan bahawa krisis politik Perak ini adalah satu mainan politik yang telah dirancang dengan teliti oleh UMNO untuk merampas kuasa. Sultan Azlan Shah ternyata telah keliru dengan keadaan sebenar. Apa yang sedang berlaku adalah satu penipuan bukan sahaja ke atas sultan malahan terhadap para pengundi di Perak.

Ketika menulis artikel ini saya dapat satu SMS tentang kematian seorang Ahli Parlimen PAS  di Perak. Sambil kita memanjatkan doa ke hadrat Illahi terhadap roh arwah si mati, saya juga berfikir ini adalah satu pertanda daripada langit di mana Pilihan Raya Kecil yang akan diadakan nanti menjadi satu pertanda apakah rakyat sayangkan UMNO dan Sultan mereka. 
 

Marhaintua 
09 Februari, 2009.

Tiada ulasan: