"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MENUAI APA YANG DISEMAI SEBELUMNYA

Salam hormat warga Malaya dan Borneo,

Betapa islam itu indah. Keindahan itu kebenaran. Kebenaran itu menjelma dalam keindahan islam. Firman Allah : “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”. (QS 66 : 6)

Ungkapan kata neraka menyentuh seluruh tata hidup manusia semasa hidup dan selepas mati. Perilaku jenayah atau penjenayah adalah C4 kepada orang yang baik, penyakit yang meranapkan keamanan bermasyarakat dan bernegara, di samping mencetuskan kebimbangan tentang keselamatan manusia sejagat. Di manakah terletaknya sarang penyakit itu? Sabda Rasulullah: "Perut manusia itu tempat segala penyakit”. (Riwayat ad-Dailami).

Sedia maklum bahawa perut itu tempat mengisi makanan. Makan bukan sahaja sebagai satu cara untuk meneruskan hidup, bahkan apa yang dimakan mempengaruhi tingkah laku seseorang. Justeru agama, khususnya agama islam mewajibkan penganutnya hanya memakan makanan yang halal, yang juga diperoleh dari sumber yang halal.

Menyentuh soal rasuah. Rasuah bukan pendapatan atau rezeki yang diperoleh dengan cara yang halal. Betapa Rasulullah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah. Sabda Baginda yang bermaksud : “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan dicampak ke dalam neraka”.  (Riwayat Al-Turmizi)

Rasulullah bukan sahaja melaknat bahkan memberi amaran keras kepada para pemberi dan penerima rasuah sebagai bakal dicampak ke dalam neraka. Amat nyata bahawa rasuah itu tidak halal. Dengan ungkapan lain, seluruh yang terlibat memasak dan memakan hasil rasuah itu, sudah tentu memakan makanan yang tidak halal.

Makanan yang tidak halal itu akan disimpan di dalam perut sebagai penyakit. Penyakit dari sumber makanan yang tidak halal itu, sudah tentu menjelma dalam pelbagai bentuk penyakit tingkah laku, sehingga keluarga yang sepatutnya harmoni, bertukar menjadi porak-peranda tanpa kasih sayang laksana neraka.

Perut seluruh warga perasuah yang di isi dengan makanan dari sumber yang ada janji neraka kehidupan untuk mereka akan berkembang menjadi neraka hidup berkeluarga, neraka hidup bermasyarakat dan neraka hidup bernegara di persada antarabangsa.

Demikianlah, masyarakat dan negara akan menuai dari apa yang telah disemai sebelumnya. Kalau begitu, jauhilah rasuah dan jangan berani memberi makan keluarga dari sumber rasuah. Bahana rasuah buruk padahnya kepada agama, masyarakat dan negara.

Selainnya saya ingin menjelaskan, tentang betapa nilai baik semua agama harus dihargai oleh semua penganut beragama sebagai intipati kesejahteraan sesama manusia. Penjelasan mudah saya adalah seperti berikut: 
 

TERAS AGAMA BESAR DUNIA

HINDU: “Inilah rangkuman dari seluruh kewajipan: jangan lakukan kepada orang lain apa yang menyakitkan jika dilakukan kepadamu.” (Mahabharata 5:1517)

BUDDHA: “Jangan menyakiti orang lain melalui cara-cara yang menyakitkan bagi dirimu.” (Udana 5:1)

KRISTIAN: “Segala sesuatu yang kamu kehendaki supaya orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka.” (Matius 7:12)

ISLAM: “Tidak seorangpun di antara kamu yang beriman, sehinggalah kamu mengasihi saudara-saudara mu (manusia bersaudara), sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri.” (Sahih: Bukhari - Muslim). 
 

KONSEP TUHAN AGAMA BESAR DUNIA

HINDU: “Tuhan itu tidak dapat disepertikan, Tuhan disebut dengan nama yang banyak, bukan Tuhan yang banyak”.

BUDDHA: “Tuhan itu suatu yang tidak dilahirkan, tidak dijelmakan, tidak diciptakan dan yang mutlak”.

KRISTIAN: “Tuhan itu maha Esa dalam Tritunggal yang kudus”.

ISLAM: “Tiada Tuhan, selain Allah”. 
 

Menyentuh soal tanggungjawab sebagai warganegara persekutuan Malaysia. Betapa negara persekutuan Malaysia adalah milik dan tanggungjawab bersama seluruh warganya, termasuklah (1.3 juta) pendatang haram dari Indonesia, Filipina dan Pakistan yang telah dimelayukan melalui pemberian IC projek oleh UMNO di Sabah, agar pendatang haram yang telah dimelayukan ini boleh mengundi calon UMNO dalam pilihan raya atas alasan demi kewujudan kerajaan Sabah yang beragama islam, yang apa nama kununnya tanpa mengambil kira soal bangsa, bahasa dan warna kulit.

NEGARA IMPIAN WARGA MALAYSIA BARU

Betapa minda dan akal budi warga Malaysia baru menghendaki kewujudan negara Malaysia yang aman dan damai, sentosa dan sejahtera sebagaimana Firman Allah : “Negeri yang baik dengan mendapat keampunan Tuhan”. (QS 34 : 15).

Negara Malaysia yang aman dan damai, sentosa dan sejahtera bermaksud, negara Malaysia yang warganya selamat dan selesa, dikemudi oleh pemimpin yang berintegriti, pemimpin yang dengan penuh bijaksana mampu menyediakan segala lapangan keperluan asas untuk hidup bagi warganya seperti makan minum, pakaian, rumah, bebas bekerja dan bergerak tanpa sebarang ancaman yang membimbangkan.

Dengan kata lain, negara ini berhak untuk mendapat pemimpin yang terbaik dari kalangan warganya yang baik-baik. Baik dalam erti kata yang memberi manfaat kepada seluruh warga yang dipimpin sebagaimana Sabda Rasulullah : “Sebaik-baik manusia ialah yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain.”.

Negara persekutuan Malaysia ini bukan hak UMNO. Justeru, negara ini adalah hak bersama seluruh warganegara Malaysia, termasuklah 1.3 juta pendatang haram di Sabah yang telah diberi (IC projek) dan dimelayukan oleh UMNO. Yang demikian, generasi yang bijaksana dan pintar Malaysia baru, kini telah mampu menilai watak dan sikap, kotor dan bohong warga UMNO yang laksana biawak komodo di persada negara dan antarabangsa.

Manakala mendapat keampunan Tuhan pula ialah masyarakat yang berbudi perkerti yang baik dan menjelma pula dalam bentuk sifat taqwa. Konsep takwa yang paling ringkas ialah ketaatan untuk menunaikan perintah Tuhan, di samping kesanggupan untuk meninggalkan larangan Tuhan, sama ada perintah dan larangan Tuhan itu bersifat luaran mahupun dalaman. Betapa keampunan Tuhan itu tidak bergantung kepada kecanggihan teknologi tinggi kerana bersifat rohaniah atau mujarad yang menjelma dalam ketinggian budi pekerti yang baik serta sopan santun yang terpuji.

Tanpa sikap dan watak ketinggian budi pekerti yang baik serta sopan santun yang terpuji dalam tata bermasayarakat, nescaya gerombolan yang berkuasa akan menzalimi golongan marhaen yang lemah. Justeru, golongan marhaen yang dizalimi itu sudah tentu sakit hati dan memberontak kepada gerombolan yang menindas tersebut. Yang demikian, tidak wujud kedamaian dan keharmonian dalam tata bermasyarakat dan bernegara. Di sinilah terletaknya tanggungjawab masyarakat yang beragama untuk mematuhi perintah Tuhan. Dengan kata lain, bertakwa kepada Tuhan dengan cara mengamalkan segala perintah Tuhan.

Betapa saya bukan pemikir agung yang layak untuk mencetuskan tata fikiran bagi keunggulan hidup bernegara dan bermasyarakat. Namun begitu, kadang kala suatu disiplin ilmu itu datangnya dari anugerah alam semula jadi, walaupun hanya sekadar buah apple yang jatuh dan menimpa kepala yang bijaksana. Lantaran itu, saya sering menyatakan bahawa, yang benar tetap benar laksana intan yang terbenam beribu tahun di kolam najis, namun nilai intan itu tidak terjejas. Demikianlah juga dengan perkara yang salah tetap salah, bagaikan najis yang tidak dapat atau gagal membersihkan najis. Dan kemuncak tertinggi harapan insan yang baik, tidak lain dan tidak bukan adalah hasanah di dunia dan hasanah juga di Akhirat, di samping dijauhkan dari sebarang bentuk neraka. 
 

WARGA BORNEO BIAR ADA HARGA DIRI

REMPUH UMNO SAMPAI JATUH 
UMNO SARJANA AGUNG DALAM BERBOHONG

- Naspazi 
http://naspazi.multiply.com


Tiada ulasan: