"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Abduh Dan Para Wazir Otak Kemetot

SEORANG penjenguk blog Merah Tinta bernama Muhammad Khairuddin Awang telah forward tulisan terbaru Nik Abduh Nik Abdul Aziz (foto) yang diambil dari blognya berjudul: Kerja bodoh dalam Pas ke dalam email saya dan minta saya ulas. Intipati tulisan Nik Abduh menceritakan perihal para wazir (pembantu) ayahandanya yang tidak menjalankan tugas dengan betul dan cuba main kelong, atau main kayu tiga.

Salah satu kerja wazir itu ialah melagakan ayahandanya dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang. 

Siapakah para wazir Tok Guru Nik Aziz? Panggilan itu umum sangat. Dalam konteks kerajaan negeri, mereka ialah para pegawai kerajaan negeri. Dalam konteks politik ialah ahli Dewan Harian Pas. Manakala dalam konteks tugas sebagai Menteri Besar ialah pegawai-pegawai yang bertapa di pejabat MB ditingkat 1, bangunan SUK dalam Kota Darulnaim.Di situ ada pegawai akhbar, ada pegawai khas, ada setiausaha sulit khas dan ada setiausaha politik. Ada juga pembantu khas. Inilah para wazir Tok Guru. Apakah kesemua mereka ini menasihati secara tidak betul, main kayu tiga ataupun duduk di situ kerana melaksanakan agenda politik sendiri?

Kalaulah saya yang menulis topik ini pasti berasap kena hambur oleh penjenguk yang taksub kepada orang tertentu di Kelantan. Saya akan dituduh sebagai mereka-reka cerita dan cuba meretakkan hubungan Nik Aziz dengan Abdul Hadi Awang. Nasib baiklah topik itu diulas dan disorot oleh Nik Abduh, anak Tok Guru Nik Aziz sendiri. Tahniah dan terima kasih Abduh.

Kalau saya yang menulis begitu, akan adalah tuduhan ke atas saya, kononnya saya menulis kerana urusan perniagaan kambing Japnapari tidak bereslah, projek depu tidak menjadilah ataupun kerana projek wang dinar tidak laku. Tidak terkecuali juga tuduhan paling popular kalangan spy Pas (spy mata sebutir) ialah saya ini adalah mata-mata gelap Umno! Tuduhan itu menggambarkan kedangkalan spy mata sebutir Pas dan mereka yang tidak kenal saya sekenal-kenalnya.


Biasalah manusia suka menghukum tanpa menanti apakah nokhtah terakhir mengenai sesuatu tulisan atau pun topik yang dibicarakan. Semua itu dilakukan kerana taksub, taksub kubra... maka mereka sudah tidak waras lagi.

Pada saya orang yang taksub kubra kepada sesiapa pun hatta kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi Awang adalah orang yang kekurangan kornea atau manik dalam mata dan pertumbuhbesaran akalnya juga terbantut. Jenis akal 'kemetot''. Tuhan tidak menyuruh kita taksub melulu kepada sesiapa pun hatta Nabi Muhamamd s.a.w. melarang supaya memuja berlebihan.

Baik Abdul Hadi, Nik Abdul Aziz atau sesiapa juga tetap tidak terelak melakukan kesalahan dan mereka ada kalanya perlu petunjuk dan maklumat serta teguran. Dalam hal ini kedua hamba Allah dan pemimpin agung ini tidak melenting pula bila ditegur atau dikritik sebaliknya pentaksub berakal kemetot yang sibuk-sibuk.


Sepanjang saya kenal dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz beliau tidak pernah menengking atau pun marah kepada saya, begitu juga Abdul Hadi Awang walaupun saya mengkritik mereka berdua. Tetapi apa yang sering berlaku orang lain yang menjadi galang gantinya, ini termasuklah pengomen otak kemetot dalam blog. Berbeza dengan tokoh baru Pas yang baru kenal alif ba tha tidak boleh ditegur akan melenting macam guli mata kucing jatuh ke simen... ting... ting... ting...



Berbalik kepada topik diangkat oleh Nik Abduh tadi, memang sukar untuk mempercayai kalau Tok Guru Nik Aziz boleh 'berselehen' atau berkadas akal dengan Abdul Hadi Awang. Mereka ulama yang sarat dengan ilmu. Tetapi kerana ada tukang hasut dari pembantu sesat itu maka timbullah pertelagahan. Tujuan pencanggahan itu ditimbul supaya dua tokoh itu bergaduh agar senang mereka menyelit untuk mencuri kesempatan.

Saya sudah lama menyedari peranan sang wazir sesat ini. Kalau baca dalam posting saya sebelum ini sudah pun saya tulis dan ulaskan. Merekalah yang merosakkan ukhwah dalam Pas. Kerana untuk mencapai hajat seseorang mereka sanggup merogol amanah yang diberikan kepada mereka menerusi tanggungjawab itu. Jenis muka tidak malu, akal kemetot.


Sebenarnya kalau mereka nak ampu dan nak percepatkan proses kenaikan taukeh mereka majulah secara mendada dan jangan mencelah dan mencari kesempatan dan menjadi parasit. Apakah orang berkenaan menerima pakai teori ataupun amalan parasit seperti dedalu tumpang orang kemudian hisap darah orang sampai orang kojol?


Ada fahaman dan ajaran politik demikian dipraktikan oleh sesetengah kelompok di negara ini. Dan kelompok ini yang berkembang pada tahun 70-an kini sudah menyerap masuk ke dalam Pas dan gerakan Islam lain. Kalau diteliti kepada background dan harakah yang disertai sebelum menyertai Pas maka ditemuilah kelompok ini. Ianya sangat merbahaya disamping menimbulkan huru hara menyebabkan mereka hanya kutip hasil dengan meriba tangan saja.


Kelompok ini juga menerima doktrin kaedah matlamat menghalalkan cara. Bagi mereka rasuah, manipulasi, lempar batu sembunyi tangan dihalalkan dan perlu dipraktikan. Mereka ini juga membilang bukan bermula dari 1 tetapi ia boleh bermula dari 8, 5, atau pun terus 10 baru kembali kepada 3, 2, dan 1.

Alhamduliah seperti mana kata Nik Abduh, ayahandanya sudah faham duduk perkara sebenarnya. Mudah-mudahan sekembali beliau (Tok Guru Nik Aziz) dari mengerjakan umrah, tidak ada sesiapa lagi yang akan cuba main dan membohongi Tok Guru demi kepentingan diri. Ingatlah Tok Guru baru balik dari umrah penuh dengan wap kenabian dan setanggi Kaabah yang harum itu masih melekat di badannya. Hormatlah.

Semoga Nik Abduh akan terus bercerita tentang ayahandanya kerana ia memberi banyak manfaat untuk orang di luar. Sekarang ini cerita-cerita dari mulut second hand tidak boleh dipercayai lagi. 
http://msomelayu.blogspot.com/

Tiada ulasan: