KOTA BHARU, 6 Mei (Hrkh) - Satu lagi sejarah baru bakal tercatat apabila Kelantan ditawar menjadi tuan rumah tilawah al-Quran peringkat antarabangsa tahun ini yang dijangka diadakan pada Julai atau Ogos depan.
Baru-baru ini pertandingan hafazan peringkat kebangsaan juga diadakan di sini, julung kali selepas Kelantan ditadbir PAS.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, tawaran tersebut dibuat kerajaan pusat memandangkan kos pengendaliannya lebih murah berbanding di Kuala Lumpur.
Katanya, kos pembinaan astaka, makan-minum dan sebagainya di negeri ini jauh lebih murah.
"Kerajaan negeri sedia menimbang pelawaan tersebut. Namun kita perlu membincangkan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan kerana ia membabitkan masalah dasar.
"Ini kerana Kelantan tidak membenarkan wanita memperdengarkan bacaan al-Quran di khalayak ramai lebih-lebih lagi disaksikan penonton lelaki kerana suara wanita aurat," katanya ketika ditemuramah radio Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, baru-baru ini.
Oleh itu menurutnya beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mencari jalan terbaik supaya tilawah dapat diadakan di sini.
Katanya, beliau akan mencadangkan supaya peserta tilawah diasingkan semasa bacaan diadakan di antara qari dengan qariah.
"Kita mungkin mencadangkan peserta qariah memperdengarkan bacaan dalam dewan tertutup yang hanya dihadiri penonton wanita sahaja," katanya.
Mohd Amar berkata, sekiranya cadangan itu dipersetujui sudah pasti tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa tahun ini bakal diadakan di Kota Bharu.
Dalam perkembangan lain katanya, kerajaan negeri banyak menerima pertanyaan ibu bapa yang mana anak mereka belajar di negeri lain bagi mendapat saguhati sebanyak RM500.
Katanya, disebabkan kewangan kerajaan negeri agak terhad pelajar cemerlang yang belajar di Kelantan sahaja diberi sumbangan tersebut.
Sejak beberapa tahun lalu saguhati RM500 diberi kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Majlis penyampaian sumbangan tersebut tahun ini akan diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) 13 Mei ini.
Syarat bagi mendapat saguhati tersebut mesti mendapat 9A ke atas dalam peperiksaan SPM, mumtaz (STAM) dan 4 Prinsipal A (STPM).
Mohd Amar juga berkata, kerajaan negeri akan memyampaikan sumbangan sebanyak RM500 kepada rakyat negeri ini yang berjaya menghafaz al Quran sebanyak 30 juzuk.
Katanya, majlis penyampaian sumbangan itu akan diadakan pada 14 Mei ini di Balai Islam Lundang disempurnakan Sultan Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan