"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PERJUMPAAN KHAS ADUN / WAKIL-WAKIL PARTI POLITIK DENGAN KETUA POLIS NEGERI

Perjumpaan tersebut diadakan pada jam 10.45 pagi tadi di Bilik Mesyuarat Utama IPK, Ipoh. Pimpinan PAS yang hadir Ustaz Ahmad Awang, Aminuddin Zulkifli, saya sendiri sebagai Ketua Penerangan PAS Negeri dan sdr. Hamidon yang mewakili Dato' Seri Hj Nizar. manakala PKR diwakili oleh Ust Zulkifli Ibrahim dan Sdr. Anuar. DAP tidak ada wakil yang hadir. 

Tajuk surat yang dihantar kepada kami ialah Perjumpaan Khas Adun/Wakil-wakil parti politik. Tetapi tidak seorang pun ADUN PAS dan PKR yang menerima surat jemputan untuk hadir. Saya tidak pasti ADUN DAP terima surat atau tidak. Saya juga tidak pasti ADUN BN dipanggil sama ataupun tidak.

Kami tidak tahu apa motif perjumpaan tersebut, dalam surat jemputan tidak ada agenda dan sebab perjumpaan diadakan. Menghormati surat jemputan tersebut, kami menghadirinya dengan andaian ada perbincangan penting atau maklumat penting akan disampaikan oleh Ketua Polis Negeri.

Dalam perjumpaan yang tidak sampai satu jam itu, kami hanya diminta oleh pihak polis yang berupa amaran supaya jangan menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada hari sidang DUN 7 Mei ini. Pihak polis meminta pimpinan parti-parti politik memberi nasihat supaya ahli dan penyokong parti tidak menghadiri perhimpunan tersebut. Pihak polis kononnya mendapat maklumat dan sumber dari internet dan ceramah-ceramah anjuran PR yang mengatakan akan ada perhimpunan besar-besaran 7 Mei di Ipoh.

Dalam perjumpaan tersebut kami menafikan akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada hari tersebut, tidak ada sebab untuk kami menghalang orang ramai hadir kerana perhimpunan tersebut tidak dianjurkan oleh PR. Kononnya ada perhimpunan besar-besaran itu adalah provokasi Zambry Abdul Kadir yang mendedahkan dalam akhbar baru-baru ini. Sebenarnya Zambry ketakutan untuk berhadapan dengan 7 Mei dan takut dengan kebangkitan rakyat yang menuntut supaya DUN dibubarkan. Orang yang takut memang sentiasa menggelabah terhadap apa sahaja khabar angin yang sumbernya pun boleh dipertikaikan. Kami menegaskan kepada pihak polis sepatutnya Zambrylah yang wajar dipanggil oleh pihak polis terhadap dakwaan ini untuk membuktikan kepada polis adanya perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan oleh pembanagkang.

PR sudah memutuskan akan menghadiri sidang DUN 7 Mei walaupun status sidang yang diadakan jelas membelakangkan Speaker, tetapi disebabkan menghormati titah Tuanku, seluruh ADUN PR akan menghadiri sidang DUN 7 Mei untuk mendengar titah ucapan Tuanku.

PR memberi jaminan tidak akan menganjurkan perhimpunan tersebut dan boleh memberi nasihat ahli dan penyokong. Tetapi sekiranya orang ramai hadir juga, itu di luar tanggungjawab PR. Wakil PR menuntut supaya pihak polis menggunakan kebijaksanaan yang berhemah apabila berhadapan dengan perhimpunan seumpama itu. Polis ada kuasa untuk menyuraikan perhimpunan, tetapi sekiranya perhimpunan itu sekadar berhimpun cara aman, tidak ada kekacauan dan rusuhan yang boleh dianggap membahayakan keselamatan, pihak polis hendaklah mengunakan budi bicara.

Kami menegaskan orang ramai yang akan hadir pada 7 Mei itu adalah didorong oleh keinginan mereka sendiri yang ingin tahu perkembangan 7 Mei. Mereka juga hadir untuk memberi sokongan moral kepada ADUN-ADUN PR, bukan untuk membuat kekacauan. Kekacauan timbul kerana provokasi orang lain. Kami juga menegaskan pihak polis tidak ada kuasa menghalang orang ramai yang mendapat kebenaran Speaker sebagai pemerhati dalam persidangan tersebut, dan pihak polis hendaklah merujuk Speaker untuk mendapatkan senarai pemerhati dan media yang mendapat kebenarannya bukannya merujuk Dato' SUK.

Tiada ulasan: