"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Sekali Lagi Nik Aziz Menjadi Mangsa

Rakaman video temubual Mursidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikatakan mencetuskan kontroversi dengan dakwaan ahli Umno tidak akan masuk syurga didapati tidak mempunyai kenyataaan sebegitu rupa.

Dalam temubual tersebut, Nik Aziz menyeru dan mengajak umat Islam Malaysia untuk sama-sekali tidak memisahkan iman dari kehidupan sehari-hari terutamanya ahli-ahli politik.

Tokoh agama yang disegani kawan dan lawan itu menegaskan para pemimpin politik akan terhindar dari kejahatan seperti rasuah, menzalimi rakyat bawahan dan menindas masyarakat minoriti sekiranya mereka bertaut pada iman.

“Ini terjadi pasal UMNO awal lagi kata agama lain, politik lain, Sedangkan Nabi Muhammad SAW, Nabi dia dan Nabi kami juga. Nabi jaga negeri. Imam sembahyang pun dia, panglima perang pun dia dan menteri kewangan pun dia. Semua menteri pun dia. Jadi dalam negeri dan luar negeri semua dia. Jadi macam mana kita nak kata politik lain, kerana Nabi libat semua. Itu dari segi batang tubuh Nabi” katanya.

Nik Aziz berkata kezaliman dan jenayah pemerintah akan berlaku sekiranya Islam hanya diamalkan secara ritual tanpa pengisian nilai murni Islam itu sendiri seperti keadilan kepada semua, memusuhi rasuah, kesaksamaan semua kaum, dan perlindungan hak orang miskin.

“Kami daripada Pas berdasarkan politik Islam, kami diwajibkan menjaga dunia Allah ini melalui Islam. Kebetulan, sekarang ini kita guna demokrasi. Oleh yang demikian, peluang bagi menjaga dunia, ini melalui pilihan raya. Kami kempen dakwah atau ceramah dan alhamdullilah wajib. Orang nak terima alhamdullilah. Orang tak nak terima apa boleh buat, kami tak boleh rasuah, demokrasi pun kita haram. Kalau kita buat menda haram, kita beri duit, duit itu kita gunakan untuk apa? Beli beras, beras pun jadi haram. Beli minyak kereta, minyak pun jadi haram. Beli teh pun, the jadi haram,” katanya.

Ketika Pilihanraya Kecil N11 Permatang Pasir berlangsung, media pro-kerajaan melaporkan bahawa Nik Aziz berkata ahli-ahli Umno tidak akan masuk syurga.

Dalam laporan media pro-kerajaan, Nik Aziz dituduh sempit, ekstrem, sama seperti kaum Khawarij, dan mengganggap dirinya seolah-olah berkuasa seperti tuhan.

Majlis Fatwa Kebangsaan, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor turut menyelar Mursidul Am Pas itu.

Namun rakaman video temubual mendapati Nik Aziz tidak berkata seperti yang didakwa media pro-kerajaan.

“Jadi dalam Al-Quran pula segala apa yang terlibat dengan manusia, hal duit, hal kewangan, akidah, ibadah, hal ini semua ada disebut dalam Al-Quran,” katanya.

Mursyidul Am Pas itu dalam ucapan-ucapannya sebelum ini konsisten menyelar amalan rasuah dan perkauman yang diamalkan pemerintah Umno-BN.

Seruan demi seruan Nik Aziz kepada pemerintah supaya kembali kepada ajaran Islam yang sempurna dengan mengembalikan hak rakyat untuk bebas dari jenayah dan rasuah, penindasan kaum dan agama, dan melindungi kepentingan masyarakat miskin bagaimanapun tidak didengari pemerintah.

Nik Aziz berkata penindasan, asabiyah dan kezaliman sama-sekali tidak selari dengan kesyumulan Islam.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar menyangkal tindakan pemerintah menggunakan saluran media untuk kempen mereka.

“Saya juga mengutuk supaya laporan muktahir ini khususnya laporan media eletronik tv Malaysia baik RTM mahupun media prima menyiarkan berita dan kenyataan Tok Guru Nik Abd. Aziz. Saya minta sama ada mereka menyiarkan pertuturan, percakapan Tok Guru bercakap orang UMNO tidak masuk syurga. Kalau betul ada, kita akan lihat sama ada apa yang dimaksudkan itu tepat atau tidak. Tapi jika tidak, mereka harus bersedia menghadapi tindakan mahkamah secara terbuka meminta maaf diulang-ulang khususnya di dalam media elektronik di dalam tv,” katanya.

Terdahulu, pada tahun 2000, Mahfuz pernah difitnah ekoran laporan News Strait Times menyiarkan berita terhadapnya yang bertajuk Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk sekali gus mencalar imej dan kredibilitinya sebagai seorang ahli parlimen.

Selain News Strait Times, beliau turut mengatakan pernah memenangi kes ke atas Utusan Malaysia kerana pernah menyiarkan berita berunsur fitnah dan jahat terhadapnya.

Mahfuz meminta media memainkan peranannya yang sebenar dengan tidak memutar belitkan cerita sebaliknya harus berwibawa dan beretika ketika menulis sebarang laporan berita.

-tvantara.com-

Tiada ulasan: