INTAN ABDULLAH
KUALA LUMPUR: Akibat menghadiri usrah, sekumpulan siswi telah didenda oleh pengetua sebuah kolej di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada bulan Ogos lalu.
Harakah mendapat maklumat tersebut yang disebarkan menerusi laman web oleh Wakil Umum Majlis Perwakilan Pelajar UKM, Mohd Fikah Sanusi.
Aktiviti usrah yang dijalankan di surau kolej berkenaan telah dianggap sebagai pencerobohan oleh pihak pentadbiran kolej dengan alasan ia tidak mendapat kebenaran.
"Adakah menjadi satu kesalahan menggunakan surau kolej untuk berusrah? Apakah ia turut mengundang kerugian dan bencana kepada kolej?" tegas Mohd Fikah.
Selain itu persoalan yang turut menjadi kemusykilan kepada para pelajar terhadap penilaian pihak pengurusan kolej adalah sama ada solat berjemaah juga perlu mendapat keizinan pengetua kolej dulu sebelum dilaksanakan.
Mohd Fikah mendakwa tindakan tersebut sebenarnya lebih kepada emosi dan rasa buruk sangka yang sangat tinggi pihak atasan.
"Peraturan dan undang undang kolej mana yang dirujuk bila kegiatan usrah boleh didenda?" katanya yang juga merupakan pelajar tahun empat Fakulti Undang undang.
Beliau menggesa agar pihak pengurusan yang juga merupakan penganut Islam agar dapat membuat penilaian yang lebih munasabah dan bertimbang rasa memandangkan aktiviti yang dijalankan merupakan salah satu kegiatan yang mendatangkan faedah ke arah pembentukan diri dan sahsiah mahasiswa.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku pada hari Jumaat 14 Ogos sewaktu pelajar lelaki mengerjakan solat jumaat.
Setelah ditangkap, kad matrik mereka dirampas oleh felo kolej dan mereka terpaksa mengadap dan merayu bagi kesalahan berusrah mereka di hadapan pengetua.
Setiap siswi dikehendaki membayar denda sebanyak RM50 bagi sekali usrah, tetapi memandangkan sebelum ini mereka telah menghadiri usrah tersebut sebanyak empat kali menjadikan jumlah denda yang dikenakan adalah sebanyak RM200 seorang.
Difahamkan seramai tujuh orang menghadiri usrah tersebut.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan denda yang dikenakan adalah sebanyak RM 1,400.
Walaubagaimanapun, oleh kerana siswi siswi tersebut mengaku dan bercakap benar, maka mereka telah diberi diskaun dengan hanya perlu membayar sebanyak RM350 sahaja iaitu RM50 seorang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan