"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa sekolah satu aliran jadi perhatian? / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Abdul Aziz Ismail
PENDAPAT

ISU sistem sekolah satu aliran tiba-tiba menjadi perhatian. Sebelum ini ia pernah dibangkitkan oleh ahli politik Umno termasuk Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir. Tetapi, isu itu dikecam dan dipertikai hebat oleh banyak pihak terutama pemimpin bukan Melayu.

Mereka menuduh beliau rasis dan Umno cuba mengalih perhatian kepada tajuk lain setelah BN kalah teruk dalam PRU ke-12 lalu. Menurut beberapa pemimpin MCA, sistem itu sudah berjalan lama, sudah menjadi tradisi dan telah diterima sebagai sistem persekolahan yang harus dikekalkan.

Namun apabila gagasan itu disaran semula oleh seorang tokoh akedemik dan pakar sejarah bukan Melayu yang berpengaruh, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, isu itu tiba-tiba mendapat sambutan di luar jangkaan dari ahli Parlimen BN termasuk pemimpin bukan Melayu daripada Pakatan Rakyat. Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berpendapat sistem satu aliran boleh merapatkan perhubungan antara kaum dari peringat bawah lagi dan boleh menjadi landasan untuk mengwujudkan perpaduan pada jangka waktu panjang.

Beliau mencadangkan sistem itu harus bermula di peringkat sekolah menengah dan bukan sekolah rendah, ketika itu semua murid sudah bersedia dan faham latar belakang bahasa dan budaya masing-masing semasa di peringkat sekolah rendah. Katanya lagi, kalau boleh pelajar Melayu pintar di Maktab Sains Mara diserapkan ke semua sekolah menengah untuk membolehkan mereka bergaul dengan semua murid dari pelbagai kaum bagi melahirkan segera konsep perpaduan.

Isu itu menjadi lebih menarik semua pihak setelah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyahut seruan itu untuk kebaikan bersama bagi melahirakan bangsa Malaysia yang bersatu-padu dan selaras dengan gagasan 1Malaysia yang dipromosi Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak. Malah, beliau mahu isu itu diperdebatkan kepada umum bagi mendapat maklum balas adakah gagasan itu wajar dan seharusnya dilaksanakan segera atau sebaliknya.

Mengapakah isu itu begitu signifikan dan mendapat sokongan kuat setelah ia dicetuskan semula oleh orang bukan Melayu? Kenapakah ada pemimpin mendokong gagasan idea itu padahal sebelumnya parti mereka menentang keras idea itu?

Dalam perkembangan terbaru, Najib tidak menolak idea itu diperdebatkan dalam kalangan rakyat walaupun sukar dilaksanakan kerana terpaksa melihat pendapat majorit terutama kaum bukan Melayu yang sudah sebati dengan sistem pelbagai aliran seperti yang diamalkan sekarang. Menurut beliau, dasar itu boleh direalisasikan jika itulah kehendak rakyat terbanyak.

Rakyat yang harus membuat keputusan sama ada menyokong atau menolak idea itu yang pada pertimbangan rasional situasi bangsa dan kehendak jangka panjang negara, cadangan ini amat praktikal dilaksanakan demi membentuk satu bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Pertukaran pendirian dan pandangan oleh pemimpin bukan Melayu terhadap isu itu menimbulkan tanda tanya. Mungkinkah perubahan itu sudah dikaitkan dengan konsep gagasan 1Malaysia oleh perdana menteri yang dikatakan mula mendapat sambutan orang bukan Melayu daripada BN dan PR?

Adakah gagasan Najib itu sudah melunakkan pendirian tegar sebilangan pemimpin bukan Melayu yang selama ini skeptikal terhadap dasar Umno dan BN? Adakah mereka fikir gagasan Najib itu sudah menyahut kehendak mereka selama ini yang mahukan Umno berlaku adil kepada semua kaum tidak kira keturunan sesuai dengan moto "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan?"

Persoalan itu bakal ditentukan oleh tindakan selanjutnya kalangan mereka, dasar konsisten kerajaan ke arah itu dan mungkin sikap orang Melayu sendiri dalam merealisasikan gagasan itu menjadi realiti atau sebaliknya.

Tiada ulasan: