"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Liow-Chua berebut timb presiden

Datuk Seri Liow Tiong Lai mempertahankan kedudukannya sebagai timbalan presiden MCA walaupun Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini mengiktiraf Datuk Seri Chua Soi Lek kekal memegang jawatan tersebut.

Chua menerima surat dari
ROS itu pagi ini sebelum jawatankuasa pusat MCA bermesyuarat untuk membincangkan pelan damai antara beliau dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat petang ini, Liow berkata, beliau ada hak untuk merayu terhadap keputusan ROS itu.

Chua dipecat dari jawatan timbalan pesiden pada 26 Ogos. Jawatankuasa pusat MCA kemudiannya membatalkan pemecatan Chua dan sebaliknya menggantung keahlian bekas menteri kesihatan itu selama empat tahun.

Manakala Liow yang dilantik memegang jawatan nombor dua tersebut pada 15 Oktober lalu, dianggap melawan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat selepas kumpulannya mendesak pemilihan baru parti diadakan.

Bercakap dalam satu lagi sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat, Tee Keat berkata, mesyuarat hari ini menerima keputusan ROS mengekalkan Chua sebagai timbalan presiden.

Liow memegang jawatan timbalan presiden selama 19 hari.

Berikutan perkembangan terbaru itu, maka usaha terkini untuk menyelesaikan krisis MCA melalui pelan damai, mungkin sekali lagi berdepan dengan jalan buntu.

Liow memberitahu sidang akhbar bahawa "saya masih lagi timbalan presiden".

Katanya, beliau mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan ROS itu atau membawanya ke mahkamah jika perlu.

Liow juga melahirkan rasa terkejutnya dengan tindakan Tee Keat memecat empat anggota CC yang dilantik, yang menyokong menteri kesihatan itu pagi tadi.

Beliau berkata, ia bukanlah satu cara untuk menjayakan pelan damai kerana "keempat-empat mereka menjadi mangsa sebelum pelan itu dapat dilaksanakan".

"Pelan itu mestilah inklusif dan bukannya tindakan drastik seperti pemecatan (mereka)," katanya.

Hadir sama dalam sidang akhbar Liow ialah penyokong kuatnya, termasuk Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong.

Hadir ialah sembilan orang lagi anggota CC yang menyokogn Liow.

Liow memberi tiga sebab mengapa pengekalan jawatan Chua sebagai timbalan presiden adalah tidak sah, iaitu.

1. Jawatankuasa pusat menggantung keahlian dan jawatan Chua sekaligus.

2. ROS tidak ada hak untuk campurtangan dalam keputusan CC.

3. Ia adalah tindakan disiplin dan bukan satu penyingkiran.

Sementara itu, bekas ahli Parlimen Melaka, Wong Nai Chee - salah seorang daripada tiga orang yang mengemukakan desakan diadakan mesyuarat luar biasa (EGM) MCA - berkata EGM itu pastikan akan diadakan.

Beliau yang juga seorang peguam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tee Keat yang menyatakan desakan untuk mengadakan EGM itu bercanggah dengan perlembagaan parti.

Sehubungan itu, Wong berkata, mereka akan menemui setiausaha agung MCA dan ketua biro undang-undang parti itu untuk menyesuaikan kandungan resolusi bagi mengadakan EGM tersebut.

Menurutnya, setiausaha agung MCA perlu mengeluarkan notis untuk mengadakan EGM itu Khamis ini.

-malaysiakini.com-

Tiada ulasan: