"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

"Saya mangsa konspirasi" / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa wujud konspirasi bertujuan menjatuhkan maruah dan imejnya berikutan beberapa peristiwa yang berlaku ke atas dirinya sejak kebelakangan ini. Dr Mohd Asri mendakwa, pelbagai saluran digunakan bagi menjayakan tujuan tersebut termasuk memperalatkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) agar menahannya kerana mengadakan ceramah agama tanpa tauliah.

“Saya tidak tahu siapakah mereka atau tangan-tangan ajaib yang berada di belakang tabir dengan berselindung atau menggunakan Jais untuk mencapai maksud yang tersembunyi itu.

“Mereka berharap dapat melihat tangan saya digari dan diperlakukan seperti orang yang melakukan kesalahan besar apabila dibawa keluar dari rumah di Taman Seri Ukay, Hulu Klang empat hari lalu kerana menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah,” katanya kepada media selepas memberi penjelasan mengenai isu itu di Institut Al-Qayyim, Mengkuang, malam kelmarin.

Menurutnya, operasi yang dilakukan oleh anggota polis dan penguat kuasa Jais juga menggambarkan seolah-olah beliau seorang yang berbahaya dan boleh mengancam keselamatan negara.

“Adakah saya melakukan kesalahan besar sehingga memerlukan ramai anggota polis dan penguat kuasa. Ini seolah-olah menyamai operasi untuk menangkap Noordin Mat Top,” katanya.

Dr Asri berkata, pihak atasan Jais perlu mengkaji semula sama ada cara operasi untuk menahannya adalah sesuai atau melampaui batasan.

Mengenai tuduhan seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mendakwa beliau memalsukan ijazah sarjana mudanya, Dr Mohd Asri berkata, tuduhan itu adalah melampau seolah-olah ada kaitan antara satu sama lain.

“Mula-mula saya ditahan oleh Jais tanpa ada sebarang pertuduhan dan kini muncul pula dakwaan saya memalsukan sijil Sarjana Muda yang saya terima dari Universiti Jordan pada 1995.

“Ini adalah satu perkara yang amat memalukan untuk saya jawab kerana memang tidak masuk akal langsung. Kalau menggunakan sijil palsu, adakah saya boleh melanjutkan pelajaran saya ke peringkat Sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak Jakim agar memohon maaf secara terbuka kepadanya secepat mungkin kerana tindakan seorang pegawainya itu.

Dalam pada itu, Dr Mohd Asri berkata, beliau tidak berminat dengan jawatan tertinggi dalam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang ditawarkan kepadanya secara lisan, baru-baru ini.

Ditanya mengenai ‘pergeseran’ yang berlaku antaranya dengan Nakhaie berikutan kelantangannya menegur Yadim, beliau berkata, Nakhaie tidak wajar melenting kerana sebagai rakyat Malaysia, beliau berhak untuk bertanya dan mendapatkan penjelasan.

“Saya berhak bertanya dan mengetahui apa yang berlaku dalam Yadim kerana sebahagian besar peruntukan yang diterima adalah daripada kerajaan.

“Sebagai orang Islam dan rakyat Malaysia, saya berhak mengetahui apa yang dibelanjakan dengan peruntukan yang diterima,” katanya.
S/H

Tiada ulasan: