"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengalaman seorang tahanan Teluk Guantanamo / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Mereka langsung tidak mahu dengar apa-apa kebenaran," kata Sami Al Hajj, 40, dari Sudan.Dia merupakan satu-satunya wartawan yang pernah ditahan di penjara tersohor dahsyatnya di Teluk Guantanamo selama tujuh tahun, dan beliau tidak pernah didakwa untuk sebarang kesalahan.

Menceritakan pengalamannya itu, katanya beliau ditahan oleh tentera Amerika Syarikat di Pakistan pada 2001 semasa hendak menyeberangi sempadan untuk ke Afghanistan, sebelum dibawa ke penjara Teluk Guantanamo untuk dikurung sebagai 'anggota pasukan musuh'.

Beliau yang kini mengetuai bahagian kebebasan awam dan hak asasi rangkaian televisyen Al-Jazeera menceritakan pengalaman pahitnya itu untuk dikongsi bersama dengan peserta "Persidangan Kejenayahan Perang dan Tribunal Jenayah Perang 2009" di sini.

Katanya semasa dikurung di Guantanamo, selain dibogelkan beliau diberi makan hanya menerusi tiub.

"Saya ditahan tanpa belas kasihan, tentera Amerika mengesyaki saya sebagai seorang wartawan yang hendak menemuramah Osama bin Laden, mereka langsung tidak peduli untuk mendengar apaapa kebenaran," katanya dan menambah tahanan dari serata dunia, termasuk dari Bosnia dan Indonesia turut dibawa ke Guantanamo. Katanya mereka tidak dibenarkan menghubungi sanak saudara kaum keluarga, di samping tidak diberitahu mengapa mereka ditahan.

"Kami juga langsung tidak tahu bila waktu untuk berpuasa, bersembahyang, atau waktu sambutan apa-apa perayaan termasuk Hari Raya," katanya.

Beliau berkata tentera Amerika juga tidak menghormati agama-agama lain, dan mereka memijak Al-Quran dan mencampak kitab suci itu ke dalam mangkuk tandas.

"Sekiranya ada tahanan yang sakit atau tercedera, mereka tidak menghantarnya ke mendapatkan sebarang rawatan, sebaliknya tahanan itu dibiarkan begitu sahaja sehingga kecederaan bertambah parah, ada antara tahanan yang terpaksa dipotong kakinya," katanya.

Sami berkata media perlu memainkan peranan mereka dan menyampaikan kisah-kisah benar, terutama mengenai Guantanamo dan perang, untuk memberi maklumat kepada orang ramai mengenai keadaan sebenar. Sami berkhidmat di AlJazeera sejak tahun 2000 sebagai jurukamera sebelum dinaikkan pangkat sebagai wartawan.

"Menerusi persidangan ini saya berharap Malaysia boleh menetapkan satu platform bagi menangani perkara ini dan mencari jalan penyelesaian membanteras perang, mendidik orang ramai serta media, dan saya benar-benar berharap mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohammad dapat membantu dalam menyuarakan gesaan di peringkat antarabangsa, supaya menghentikan perang," katanya.

Persidangan empat hari itu dilancarkan oleh Dr Mahathir semalam, yang juga bertindak sebagai pengerusi pertubuhan Keamanan Global Perdana Malaysia.

-BERNAMA-

Tiada ulasan: