"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wajibkan tauliah syarat lapuk, kata MP Zulkifli / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang lazimnya lantang dalam pandangan beliau berhubung isu-isu agama menegaskan, syarat keperluan “tauliah untuk menyampaikan ajaran Islam dan berdakwah hendaklah dimansuhkan”.

Dalam reaksi susulan berhubung penahanan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin malam kelmarin, pemimpin Pakatan Rakyat itu menambah, syarat mengenakan tauliah lebih memudaratkan Islam daripada membawa kebaikan.

“Pada saya, dakwah dan penyebaran serta pengembangan Islam dan ilmu perlu dibenarkan tanpa sekatan, sama ada di masjid dan surau, mahupun di mimbar Jumaat.

“Pada saya, hanya jika penyampaian dan ajaran yang dibawa adalah bercanggah dengan Islam ataupun sesat barulah kita ambil tindakan. Contohnya seperti tindak-tanduk kumpulan yang melabel diri mereka Sisters in Islam yang mempertikaikan hukum-hakam dan syariat Islam dalam ceramah, program dan risalah mereka,” kata beliau dalam blognya hari ini.

Sambil menganggap tindakan terbaru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Asri sebagai ‘double standard’ dan menurut telunjuk pihak lain, Zulkifli menambah, apa yang penting sekarang selepas negara mencapai kemerdekaan lebih dekad adalah tidak terikat dengan tatacara penjajah.

“Sampai bila kita nak melolong dan berkokok laungan merdeka pada tiap tanggal 31 Ogos sedangkan agama Islam yang menjadi tunggak jatidiri dan survival bangsa Melayu masih terjajah.

“Sudah tiba masanya warisan-warisan penjajah seperti isu tauliah ini kita hapuskan, dan kita bina semula umat yang lemah dan lesu ini di atas dasar Islam yang menurut al-Quran dan sunnah yang sebenarnya,” katanya lagi.

Oleh itu ujar beliau, syarat untuk mendapatkan tauliah oleh mana-mana pendakwah Islam sebelum dibenarkan menyampaikan risalah Islam ini adalah satu cara penjajah menyekat kebangkitan umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia.

“Semasa penjajahan Barat, kebanyakan ulama, pendakwah dan pejuang Islam telah menggunakan medan dakwah di surau, masjid, dan lain-lain tempat untuk membangkitkan semangat umat Islam menentang penjajah berdasarkan ilmu dan kekuatan jihad berpaksikan akidah,” katanya lagi.

Dengan nada sinis, Wakil rakyat itu berpendapat, pada zaman siber tanpa sempadan, “saya hairan JAIS dan yang sewaktu dengannya masih lagi terbelenggu dengan warisan penjajah ini.”

“Apakah JAIS akan bertindak terhadap ustaz dan ustazah yang mengajar al-Quran dan muqaddam di rumah-rumah? Bagaimana dengan pensyarah, guru yang mengajar di sekolah-sekolah yang mengajar mata pelajaran Islam.

“Bagaimana pula dengan program ehwal Perdana Islam di kaca TV, ramai panelisnya adalah golongan yang tidak diberikan tauliah.

“Bagaimana dengan mereka yang menyampaikan Islam di dada akhbar, majalah dan lain-lain. Bagaimana dengan blog, ruang siber dan lain-lain?” soal beliau..

-themalaysianinsider-

Tiada ulasan: