LanH
Kini heboh seantero dunia dalam gabus (filter) rokok ada sel babi. Namun saya perhatikan perokok tegar tidak ambil 'pot'. Di bahagian beranda surau kampung saya ada tersedia beberapa tempat habuk rokok. Demikian juga di beberapa surau dan masjid lain di seluruh negara. Ramai orang veteran gemar duduk-duduk di tangga atau beranda surau dan masjid, menghembuskan asap penuh kenikmatan, terutama selepas solat asar dan isyak.
Jadi, tidakkah 'asap babi' bertebaran di ruang surau dan masjid. Apakah hukum perbuatan ini?
Di sini sukacita saya menjalankan amanah menegur perbuatan merokok berdasarkan 'Fatwa Semasa Mengenai Hukum Merokok' yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka.
1. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya hukumnya adalah haram kerana daripadanya terdapat kemudaratan.
2. Ulama-ulama semasa seperti Dr Abdul Jalil Shalabi mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.
3. Dr Zakaria Al Bari (anggota Akademi Kajian Islam dan Anggota Lujnah Fatwa Al-Azhar) menyatakan merokok hukumnya haram atau makruh adalah pendapat yang kuat.
4. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.
5. Syeikh Hasanain Makhluf iaitu bekas Mufti Kerajaan Mesir telah menetapkan merokok adalah haram jika mendatangkan mafsadat kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi pengurangan nafkah kepada keluarganya. Makruh jika mafsadat itu tidak ketara atau tidak mengurangkan hak nafkah keluarga.
6. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam.
7. Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.
8. Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa menanam tembakau atau merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah haram.
9. Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpegang kepada fatwa merokok adalah haram walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan bahawa perbuatan merokok boleh mendatangkan mudarat.
10. Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram.
Sehubungan itu saya berharap, penghisap rokok menghentikan tabiat buruk itu terutama di beranda serta tangga surau dan masjid. Dibimbangi anda menghebus dan menebarkan asap zat babi dalam masjid dan surau. Tentulah ini kesalahan amat serius dan suatu dosa besar.
Kepada pengurusan masjid dan pihak penguat kuasa agama, saya berpendapat tidak cukup dengan hanya meletakkan papan tanda DILARANG MEROKOK atau MEROKOK ADALAH HARAM di dinding atau ruang depan masjid.
Tangkap saja orang merokok di kawasan masjid terutama di berandanya dan hadapkan mereka ke mahkamah. Apabila berita mereka tersiar di dada-dada akhbar, barulah penghisap 'sel babi' di kawasan sekitar masjid akan takut dan lama kelamaan akan insaf.
Kepada penanam tembakau, marilah kita bersama-sama menukar kepada tanaman lain untuk mendapat keberkatan Ilahi. Sekian, harap dimaaf teguran saya dan terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan