"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Himpunan Bersih 2 selepas parlimen bubar

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 5 Julai:
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dicadang supaya mengadakan himpunan kedua selepas parlimen dibubarkan.

Ini ekoran, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan pilihan raya ke-13 yang luar biasa.

Setiausaha Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ), Suhaizan Kayat berkata, ucapan-ucapan terakhir itu telah memberi isyarat bahawa pilihan raya akan diadakan terlebih awal daripada waktu yang sepatutnya.

“Memandangkan bahawa pilihan raya di negara kita masih terlalu terdedah kepada manipulasi, maka saya mencadangkan bahawa Jawatankuasa Bersih perlu mengadakan Himpunan Bersih 2. Tarikh himpunan ini dicadangkan pada hari Sabtu terdekat selepas Perdana Menteri membubarkan parlimen,” tulis Suhaizan di dalam blognya.

Ini, tambahnya, Bersih belum lagi mencapai matlamatnya di mana pihak kerajaan mendiamkan diri berhubung tuntutannya pada himpunan pertama dahulu.

Katanya, jika pihak kerajaan tidak dapat memberi jaminan ketelusan dalam pilihan raya, maka rakyat akan berhimpun di Istana Negara pada tarikh yang ditetapkan.

Beliau berkata, jika kerajaan tidak mahu melihat rakyat berhimpun di Istana Negara, maka kerajaan hendaklah membuang segala ruang manipulasi dalam undi pos, daftar pemilih dan pemalsuan pengundian.

Media mestilah memberi jaminan membuat liputan yang adil kepada semua pihak, katanya di samping pemerhati antarabangsa perlu dipanggil untuk menjadi pemerhati pilihan raya di negara ini.

Menurutnya lagi, alasan tarikh cadangan himpunan Bersih 2 selepas pembubaran parlimen adalah kerana pertamanya bagi mempastikan pilihan raya ke-13 akan berlaku dalam keadaan demokrasi pilihan raya telah dipulihkan sepenuhnya.

Keduanya, kata beliau Perdana Menteri perlu membetulkan sistem pilihan raya terlebih dahulu sebelum membubarkan parlimen, itulah yang dinamakan ‘Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’.

“Ketiga, jika ada pihak yang mengatakan masa tersebut adalah masa yang terlalu sibuk maka suka saya nyatakan rakyat di negara ini boleh berhimpun di Istana Negara dengan notis 48 jam.

“Ini kerana rakyat telah 3 kali berhimpun secara besar-besaran. Lagi pun himpunan ini hanya memakan masa 3 jam sahaja dan ia boleh membangkitkan kesedaran seluruh negara untuk turun mengundi,” ujar yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat.

Tiada ulasan: