"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saman Barry Wain jika dakwaan tidak benar

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 9 Julai:
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mencabar kerajaan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penulis, Barry Wain sekiranya dakwaan terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad melalui bukunya Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times tidak benar.

Charles berkata, jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai bukti lengkap bahawa tiada elemen perlakuan rasuah berlaku seperti yang didakwa Wain, kerajaan tidak harus takut untuk mengambil tindakan itu bagi membersihkan nama Tun Mahathir.

"Saya minta kerajaan menyaman Barry Wain kalau dakwaan beliau itu tidak betul dan SPRM ada butir-butir lengkap, maka mesti menyaman Barry Wain untuk bersihkan nama Dr. Mahathir," katanya pada sidang media di lobi Parlimen petang semalam.

Beliau sebelum itu mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri, meminta Perdana Menteri menyatakan samaada kerajaan bercadang atau tidak untuk menyiasat dakwaan Barry Wain dalam buku terbarunya yang mengatakan bahawa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bertanggungjawab atas kerugian kewangan dan 'write-off' berjumlah RM100 bilion semasa beliau menjadi Perdana Menteri untuk 22 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam jawapan bertulis kepada soalan itu berkata, SPRM tidak bercadang menyiasat dakwaan itu kerana mendapati tiada elemen perlakuan rasuah berlaku seperti yang didakwanya.

Beliau berkata, selepas meneliti buku berkenaan SPRM mendapati tiada asas berlakunya kesalahan itu di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Charles mempertikaikan jawapan itu dan meminta SPRM mendedahkan siasatan yang dilakuakan terhadap Tun Mahathir kepada umum bagi membuktikan kerajaan mengamalkan sikap telus dan bebas daripada rasuah.

"Kalau benar bahawa penyiasatan telah dijalankan terhadap Dr Mahathir, maka kita nak tahu bila ia dijalankan dan apakah rumusan itu dapat dikeluarkan untuk pengetahuan umum.

"Kerajaan kata mereka nak jadi telus, nak menyerang rasuah habis habisan, oleh itu kita nak minta SPRM dan juga Datuk Seri Nazri supaya memberitahu kepada rakyat Malaysia apakah kandungan penyiasatan itu dan mengapa SPRM berfikir bahawa tidak ada unsur rasuah dalam isu ini," katanya lagi.

Sementara itu, ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi pula berkata, Nazri dalam jawapannya tidak menafikan dakwaan Wain bahawa Tun Mahathir telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM100 bilion.

"Saya sudah baca buku ini dan baca juga jawapan Datuk Seri Nazri. Beliau tidak menafikan atau menolak apa yang telah diutarakan oleh Barry Wain yang menyatakan dalam pemerintahan Dr Mahathir telah mengakibatkan kerugian RM100 bilion. Jadi perkara ini harus disiasat secara telus," katanya.

Buku itu pernah ditahan lebih lima bulan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan alasan untuk mengkajinya.

Disember tahun lalu, KDN telah merampas 800 naskah buku tersebut di Pelabuhan Klang.

Tiada ulasan: