"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Usah tersilau ramainya kehadiran ceramah isu video seks

AHMAD LUTFI OTHMAN
Hampir semua pemimpin kanan Pakatan Rakyat hadir. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam keadaan agak uzuanwar selangor anti fitnah talk facing crowdr, tetap bersama kemeriahan malam Selasa lalu, walaupun sekadar membacakan doa dan bertakbir. Puluhan ribu memenuhi Stadium Melawati, Shah Alam. Program solat hajat dan ceramah perdana.

Kontroversi ekoran tohmahan bahawa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim terbabit dalam video lucah yang ditayangkan Dato' T kepada wartawan terpilih di hotel mewah Carcosa Seri Negara 21 Mac ternyata mengundang padah buat Umno-BN.

Apatah lagi selepas terdedah (dan diakui sendiri) bahawa dalang utamanya adalah Abd Rahim Tamby Chik. Ya, siapakah yang bersedia untuk membersihkan imej bekas Ketua Pemuda Umno itu daripada terpalit teruk dengan isu moral? 

Dua tiga orang rakan-rakan yang hadir pada malam itu membuat kesimpulan awal yang hampir sama kepada saya: Suasananya bagaikan mahu mengulangi fenomena Reformasi 1998. Penulis Mohd Sayuti Omar merakamkan: "Bagi penyokong reformasi dan Pakatan Rakyat rugi besar malam ini (28 Mac) kerana tidak ke stadium .... Apa yang berlaku malam ini tak ubah himpunan di sekitar tahun 1998 di era reformasi dahulu."

Daripada awal saya menjangkakan, jika ia semata-mata rekaan, isu ini bakal memerangkap bukan saja Najib Razak, malah BN secara keseluruhannya. Pilihan raya umum ke-13 nanti berupaya menjadi penamat kepada penguasaan BN terhadap Putrajaya. Pengundi Melayu yang pernah mencetuskan undi protes pada 1999, dan seperti "sedikit tertangguh" pada 2008, akan memberikan pengajaran cukup pedih kepada Umno kali ini.

Orang Melayu sukar menerima individu diaibkan sebegitu rupa. Kalau pun bersalah (apatah lagi hanya setakat lemparan fitnah), memang wajar dihukum dan didera tetapi jangan sama sekali mengaibkannya di khalayak umum.  Justeru, saya tidak begitu yakin dengan pandangan yang mendakwa bahawa konspirasi ini digerakkan seteru Najib dalam Umno, memandangkan ia bukan saja mampu menjerumuskan Presiden Umno itu ke jurang paling dalam, malah mengheret jatuh dominasinya selama 55 tahun itu.

"Saya perhatikan ramai anak muda membanjiri stadium pada malam itu. Ini juga satu mesej cukup positif buat Pakatan Rakyat. Mereka cukup marah dan pada masa sama begitu ghairah mahu melihat perubahan kepada lanskap politik negara," kata seorang wartawan yang membuat liputan. "Saya yakin mereka sedar dengan tanggungjawab untuk menyingkirkan pemimpin korup yang mengetepikan kebajikan rakyat," tambahnya.

"Ramai berkupiah putih malam tadi, saya rasa majoritinya mungkin penyokong PAS. Anak-anak muda makin percaya kepada PAS, mereka mahu politik yang berakhlak," pandangan seorang rakan lain.

Namun begitu, seperti berdepan situasi lain juga, saya sentiasa meletakkan "keraguan" ataupun membayangkan "suasana paling buruk" yang bakal kita hadapi, berdepan elit penguasa yang mampu memperkakaskan apa saja untuk terus bertakhta. Mood rakyat yang muak dan mual dengan budaya fitnah boleh sahaja dikalahkan dengan taktik lain yang lebih licik dan "berkesan", misalnya melalui manipulasi pendaftaran pemilih membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Umno sendiri.

Ketika Pakatan Rakyat sibuk mengatur kempen menyanggah propaganda jahat, agen-agen Umno sentiasa memerhati ruang dan peluang untuk memintas -- melalui sokongan dan bantuan jentera kerajaan -- sekali gus berhasrat menawan kembali negeri-negeri yang terlepas pada 2008, khususnya Selangor. Harakah mungkin berjaya mendedahkan satu dua kes di sekitar Lembah Klang, tetapi mungkin puluhan lagi belum berjaya terbongkar, malah untuk dihidu pun sukar.

Sehari selepas Stadium Melawati diserbu khalayak yang dahagakan maklumat sahih berkaitan isu Anwar, Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin "merayau-rayau" ke beberapa buah sekolah di Ampang dan Kuala Langat, bagi memancing undi. Melalui skrin TV, dalam berita jam 8 malam, saya perhatikan dengan jelas lambang dacing BN begitu menonjol.

Bayangkan, dalam dewan sekolah, sambil mengumumkan bantuan, Muhyiddin melalui acara rasmi kerajaan, giat berkempen memancing undi. Beliau secara terbuka menyelar kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan mengkritik Buku Jingga. Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar lebih jelas lagi dalam ucapannya menegaskan: "Kita perlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi dalam Dun Selangor untuk mengambil alih kerajaan negeri ..."

Dalam gambar yang disiarkan Malaysiakini, saya perhatikan Ketua Umno Ampang, Ismail Kijo berada di atas pentas, di sebelah Noh.  Dalam pilihan raya 2008, Ismail kalah kepada calon PAS, Khasim Abdul Aziz, di kerusi Dun Lembah Jaya. Mungkin disebabkan lokasi dewan sekolah itu berada dalam kawasan Dun berkenaan, Noh dalam ucapannya bertanya: "Apakah kita boleh menang Lembah Jaya?"

Jelas sekali, jelajah Muhyiddin (dan juga Najib Razak) ke seluruh negara untuk berkempen memburuk-burukkan Pakatan Rakyat menggunakan sepenuhnya kemudahan kerajaan. Dan Muhyiddin mengakui ia adalah perkara "biasa". "Ia tidak salah. Ia bukan masa kempen pilihan raya," tambahnya.

Ketika saya menulis kolum ini, seorang pembaca menelefon: "Harakah harus lebih agresif dedahkan taktik jahat Umno untuk tawan negeri-negeri Pakatan. Dan ingatkan wakil-wakil rakyat kita supaya lebih dekat dan intim dengan segenap masyarakat. Turun ke bawah, jangan rasa selesa di atas bahawa kita akan menang Putrajaya sedangkan rakyat mungkin marah dengan kita yang tak ambil peduli hal mereka."
Artikel ini disiapkan pada 29 Mac 2011

Tiada ulasan: