"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahu jumpa Illahi dengan ‘saham’ artis paling seksi?

Lanh
TANGGAL 25 Mac 1991 sukar dilupakan. Pada tarikh ini Harian Metro, akhbar petang berbahasa Melayu pertama diterbitkan dan berada di pasaran. Sebagai antara pengasas Harian Metro, izinkan saya mengucapkan tahniah kepada akhbar ini sempena ulang tahunnya yang ke-20.

Saya berpendapat ada sekelumit peranan untuk saya menyatakan sesuatu berkenaan akhbar yang kini muncul sebagai yang terbesar edarannya di tanah air dengan kira-kira 350,000 naskhah sehari.

Sebenarnya sudah terlalu lama saya tidak membaca apatah lagi membeli Harian Metro atau Metro Ahad, namun pada Ahad lalu (27 Mac) ketika singgah di gerai akhbar, terkejut besar saya melihat gambar muka depan Metro Ahad mempamerkan tubuh seksi artis Fasha Sandha dan Rozita Che Wan dengan tajuk ‘Paling Seksi’. Di dalamnya pula ada laporan ‘Pinggul Fasha Menggoda’.

Saya membaca serba sedikit laporannya yang antara lain ditulis: “…Metro Ahad terpanggil untuk menjalankan satu kajian bagi mencari ‘5 Artis Paling Seksi’ tanah air melalui laman web rasmi Kumpulan Harian Metro, MyMetro, bermula 7 Mac lalu.

“Pilihan lima artis paling seksi dan panas itu membabitkan 29 selebriti wanita dalam negara. Sejak carta undian ini dikeluarkan, maklum balas yang diterima daripada peminat seni dan pembaca akhbar ini cukup memberangsangkan dengan kira-kira 2,000 pembaca melakukan undian.

“Setakat ini, pelakon penuh kontroversi, Fasha Sandha masih menduduki tempat pertama carta undian. Pada minggu pertama, undian teratas mulanya memihak Rozita Che Wan. Namun, nama Fasha membuat kejutan pada minggu berikutnya apabila mendahului semua artis lain dengan rating sebanyak 14.76 peratus sehingga kelmarin.”

Ada sudah jadi dengan Harian Metro/Metro Ahad yang menyambut ulang tahun ke-20-nya dengan sebuah konsert hebat di Dataran Merdeka? Saya ingatkan petugas Harian Metro mengadakan kenduri tahlil kesyukuran dengan mengadakan jamuan untuk kakitangan dan juga memberi makan kepada anak-anak di rumah kebajikan, rupa-rupanya ini jadinya.

Metro Ahad terpanggil untuk mencari lima artis paling seksi tanah air? Saya betul-betul naik darah dengan ungkapan yang digunakan oleh akhbar yang saya menjadi antara pengasasnya. Saya marah kerana apa yang dibuat oleh akhbar Metro hari ini, saya mempunyai sahamnya. Ini kerana bekas tangan seseorang itu akan terus dirasai oleh pembuatnya; jika seorang itu membuat amal salih misalnya mendirikan masjid, selagi masjid itu digunakan dia akan mendapat pahala, manakala bagi mereka yang mengasaskan kejahatan, dosa akan diterima selagi mana perbuatan jahat di ditiru atau diteruskan oleh orang lain.

Bagi saya terpanggilnya akhbar Metro untuk mencari artis paling seksi menggambarkan betapa merundumnya minda peneraju apatah lagi dalam meyemarakkan peranan akhbar dalam membina bangsa hebat yang terarah untuk selamat di dunia dan akhirat. Sebagai media massa berwibawa, akhbar berperanan untuk mendidik masyarakat dan bukan sebaliknya dan dalam kes Metro Ahad ini lagi teruk kerana artis diberi peranan untuk mencorak serta mengajar masyarakat terutama anak muda tampil paling seksi seperti mereka.

Saya sedar Harian Metro adalah sebuah kisah kejayaan luar biasa. Daripada cetakan harian hanya kira-kira 10,000 naskhah pada Mac 1991 kepada 350,000 naskhah kini, dibimbangi kejayaan ini (lambakan intan permata) telah menggelabukan mata sesetengah penerajunya. Ingatlah wahai rakan-rakan setugas yang semuanya beragama Islam, anda dan saya semuanya terikat kepada dosa dan pahala kepada setiap perbuatan dilakukan.

Teringat saya rakan-rakan lama yang sudah memasuki alam barzakh walaupun umur masih muda. Kenang-kenanglah Moe, Zil, Sin, Mat, Siah dan beberapa rakan wartawan lain yang sudah jadi arwah. Bukankah lebih baik bertahlil, memohon kepada Illahi memberkati akhbar kita seterusnya merahmati roh kawan-kawan agar mereka ditempatkan di kalangan orang beriman daripada berkonsert dan berpesta ria yang tidak pernah habisnya?

Moe, Zil, Sin, Mat dan Siah sudah pegi; entah esok, lusa kita pula akan berangkat sama. Apakah saham pencarian artis paling seksi mahu dijadikan bekalan bagi menemui Illahi?

Tiada ulasan: