"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Aziz: Akta khusus cegah murtad sudah lama wujud jika Umno ‘tak ego’

KUALA LUMPUR, 16 Okt: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin negara sudah lama telah menggubal undang-undang khusus mencegah murtad jika tidak terhalang hanya disebabkan oleh sikap ego Umno yang melampau.

Menurut Mursyidul Am PAS, jika ‘tiada halangan’ dalam bentuk itu daripada Umno, undang-undang seumpama sudah pasti telah diterima pakai kira-kira dua dekad yang lalu.
Pendirian itu diketengahkan ketika pelbagai pihak mengulas kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, yang diutarakan minggu lalu, agar negara menggubal Akta Murtad bagi mengawal isu berkaitan.
“Jika tidak kerana keegoan Umno yang terlampau mengutamakan sentimen politik, pada adatnya negara kita sudah pun memiliki undang-undang khusus menangani gejala murtad.
“Paling lewat pun pada sekitar awal 90-an dulu, sudah ada usaha secara serius dan bersaluran oleh PAS untuk membuka jalan perbahasan secara positif dan signifikan ke arah penggubalan suatu undang-undang berkaitan murtad,” kata beliau (gambar) dalam pandangan yang dikeluarkan menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.
Idea berkenaan undang-undang murtad ini muncul ketika Nik Aziz mengulangi hasrat kerajaan negeri Kelantan mahu memperkenalkan undang-undang hukum hudud.
Kerajaan negeri menggubal enakmen berkaitan pada 1993, tetapi tidak dapat dikuatkuasakan ekoran sekatan kerajaan pusat atas faktor peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan supaya Akta Murtad diwujudkan harus dibincangkan secara bersama-sama oleh majlis-majlis agama Islam negeri kerana soal agama terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri.
Beliau berkata penguatkuasaan enakmen melarang orang bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada kalangan orang Islam juga terletak dalam kuasa kerajaan negeri.
“Apa pun hukuman harus diputuskan bersama-sama... kalau tidak akan timbul masalah. Yang saya tahu di setengah-setengah negeri, sudah ada enakmen untuk melarang orang yang bukan Islam menyebarkan agama mereka,” katanya.
Katanya, sekiranya kesepakatan dicapai, penelitian juga harus dibuat supaya akta yang ingin diwujudkan itu tidak bercanggah dengan bidang kuasa kerajaan persekutuan sebelum ia diteliti oleh Peguam Negara.
Akta Murtad dicadangkan Harussaini untuk menghukum individu yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: