"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kami diperdaya peluk Islam, dakwa penduduk kampung Kristian di pedalaman Sabah


Kampung Layung Maliau yang terletak jauh di kawasan pedalaman Sabah. - Gambar The Malaysian Insider, 20 Januari, 2014.

Gereja Protestan Sabah kecil dan berwarna putih terletak di kampung Dusun Layung Maliau, kawasan pedalaman di daerah Pitas, sekali lagi dipenuhi penduduk kampung bagi pertemuan Ahad mereka semalam.

Ia penuh sesak sejak Ahad pertama dalam 2014.

Bagaimanapun, apa yang pelik dalam 100 orang penduduk kampung miskin ini adalah satu pertiga daripada mereka adalah “orang Islam”.

"Mereka fikir mereka sudah berjaya mengislamkan kami. Mereka salah. Kami masih Kristian dan iman kami kepada Tuhan tidak pernah berubah," kata suri rumah Lenney Masangal menjelaskan kehadiran "orang Islam" di gereja itu.

Ibu kepada tiga anak berusia 41 tahun itu adalah seorang daripada 33 penduduk kampung yang mendakwa diperdaya memeluk Islam demi mendapatkan RM100 pada hari Tahun Baru.

Mereka adalah sebahagian daripada sekumpulan 64 orang, termasuk kanak-kanak, dari tiga buah kampung di Pitas iaitu Kampung Layung Maliau, Dowokon dan Sosop – yang mendakwa menukar agama kepada Islam.

Masalah mula muncul pada malam Tahun Baru.

Seorang penduduk kampung yang baru pulang dari pekan Pitas, memanggil semua orang ke rumahnya untuk mengumumkan "berita baik" bahawa" beberapa orang dari Kuala Lumpur" memberikan mereka bantuan kewangan.
Maison berasa sangat sedih dan tertipu dengan kejadian yang berlaku.

Maison berasa sangat sedih dan tertipu dengan kejadian yang berlaku."Kami semua pergi ke rumahnya untuk mendengar bagaimana kami juga boleh menerima bantuan kewangan itu," kata petani Maison Bilu.

Apabila diberitahu mereka akan mendapat sejumlah RM800 seorang, Maison berasa sangat teruja.

Lelaki berusia 44 tahun itu seolah-olah hilang pertimbangan dengan tujuh ahli keluarga, dia hanya memikirkan jumlah wang yang bakal diperoleh.

"Tiada siapa yang bertanya siapa yang akan memberikan bantuan kewangan itu. Kami hanya diberitahu bahawa ada 'orang dari Kuala Lumpur'. Kami juga langsung tidak pun bertanya sebab mereka memberi kami wang ini," kata Maison.

"Semua orang hanya mahu wang. Itu sahaja."

Mendapat wang sebanyak RM800 adalah seperti memenangi loteri bagi penduduk kampung yang bergantung hidup sumber pertanian untuk menyara hidup.

Maison menanam ubi kayu, sayur-sayuran dan jagung untuk menanggung keluarganya.

Kampung ini juga masih belum mempunyai bekalan elektrik dan air paip.

Mereka yang bermampuan, hanya mempunyai generator untuk memasang lampu dan televisyen yang bagi mereka sangat penting.

Untuk sampai ke kampung itu, memakan masa selama dua jam dengan menaiki kereta dari Kota Kinabalu ke Kota Marudu.

Dari Kota Marudu, dua jam diperlukan sebelum sampai ke Sungai Penipak iaitu sungai utama di Pitas.

Dari sungai, perlu berjalan kaki selama satu hingga dua jam melalui jalan yang penuh debu – laluan yang ditinggalkan oleh syarikat pembalak suatu masa dahulu.

Jalan berkenaan bukanlah berada dalam kondisi yang disertai juga dengan banyak bahagian bercuram.

Apabila hujan, jalan tersebut menjadi sangat licin dan apabila kering, ia sangat berdebu.

Lokasinya yang begitu jauh membuatkan wakil rakyat yang mereka pilih sejak 50 tahun lalu tidak pernah menjejakkan kaki di kampung itu.

Begitu juga pendakwah Islam.

"Kami tidak mempunyai sebarang pendapatan. Jumlah RM800 itu lebih banyak daripada BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Semua orang sangat teruja," kata Maison.

"Untuk mendapatkannya juga adalah mudah. Kami hanya perlu memberikan nama dan nombor MyKad kepada jiran kami itu. Itu sahaja.

"Bagaimanapun, kami diberitahu perlu pergi ke dewan bandar Pitas keesokan harinya (hari Tahun Baru) untuk menerima wang tunai berkenaan."

Justeru pada hari berikutnya, seramai 33 penduduk kampung yang teruja itu bersusah-payah melalui jalan yang kotor sejauh 3km untuk ke sungai.

Sebaik sahaja menyeberangi sungai melalui jambatan gantung, tiga buah kereta telah menunggu untuk membawa mereka ke dewan bandar.

"Apabila kami sampai dewan, kami diberitahu untuk pergi ke 'masjid' sebaliknya," kata Maison.

"Di masjid itu, kami semua disajikan dengan minuman dan minuman. Mereka kemudiannya meminta MyKad kami dan menyuruh kami menandatangani borang. Saya tidak tahu apakah borang itu kerana saya tidak tahu membaca atau menulis. Tiada siapa menerangkan kepada kami apakah borang itu .

"Kami semua buta huruf. Saya tidak pernah pergi ke sekolah dan begitu juga isteri saya," katanya merujuk kepada isterinya Nafsiah Momin .

"Jadi saya meletakkan cap jari saya pada borang tersebut."

Apa yang membingungkan Maison adalah individu yang membantu beliau meletakkan cap jari di atas borang yang tidak pula mengambil borang itu semula.

"Dia memberikan saya sampul surat yang besar dan di dalamnya terdapat beberapa sampul surat yang lebih kecil, sampul surat berwarna.

"Saya tidak segera membukanya untuk memeriksa kandungannya kerana kami diberitahu agar berdiri dalam satu barisan di dalam bilik.

"Seorang lelaki kemudian meminta kami mengulang kata-katanya. Saya tidak faham apa yang dikatakanya kerana ia sangat asing bagi saya.

"Pada akhir majlis, lelaki itu memberitahu bahawa kami telah memeluk agama Islam dan kami kini semua orang Islam.

"Saya terkejut. Saya segera mengheret isteri dan anak-anak keluar dari masjid sambil bertanya diri sendiri apa telah berlaku," kata Maison.

Beliau berkata, apabila membuka sampul surat yang lebih kecil, dia mendapati wang sebanyak RM100 dalam sampul surat kuning dan RM50 dalam sampul surat hijau.

Beliau kemudian mengetahui bahawa RM100 adalah untuk orang dewasa dan RM50 untuk kanak-kanak .

Borang yang masih ada pada Maison kemudiannya diserahkan kepada paderi di gereja yang memaklumkan kepadanya bahawa ia adalah satu bentuk persetujuan dan beliau telah bersetuju untuk memeluk agama Islam.

Bagi Jusman Masid, 41, seluruh kejadian itu membuat dia berasa sedih dan ditipu.

"Ya, RM800 adalah jumlah yang sangat besar kepada saya. Saya berasa amat gembira apabila mengenangkan bahawa saya akan mendapat bantuan kewangan .


"Tetapi kemudian menyedari bahawa saya telah ditipu sebanyak RM100 dan secara terselindung telah bertukar agama. Saya benar-benar rasa ditipu."

Isteri Jusman, Lenny (gambar) berkata, “penukaran agama” itu tidak memberi apa-apa makna kepada mereka semua.

"Kami masih Kristian. Kita masih pergi ke gereja setiap hari Ahad dan gereja semakin penuh sejak kejadian ini."

Selepas lebih daripada dua minggu berhadapan dengan penderitaan mental, Lenny berkata dia berasa "gembira" sekarang apabila terdapat NGO Kristian di negeri ini yang melantik peguam bagi mengambil tindakan undang-undang dan menyelesaikan perkara berkaitan status agama mereka.

"Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang Muslim dan tidak pernah mahu menjadi seperti mereka."

Penduduk kampung, diketuai oleh jiran yang memberitahu mereka berkenaan bantuan itu, Makadan Masabu, 54, telah membuat laporan polis berhubung penukaran agama sebagaimana yang didakwa.

Mereka mendesak pihak polis untuk menyiasat tuntutan mereka itu agar mereka bukan sahaja dapat mengekalkan kepercayaan mereka sebagai orang Kristian tetapi untuk memberi amaran kepada orang lain yang mungkin juga ditipu seperti mereka .

Tiada ulasan: