Butterworth: Tindakan seorang janda berusia 36 tahun ‘mengheret’ anak lelakinya berusia 10 tahun mengharungi perjalanan lebih 100 kilometer ke negeri ini untuk bertemu teman lelakinya membawa padah apabila mereka ditahan pihak berkuasa agama di sebuah hotel bajet di sini awal pagi ini.
Malah cubaan wanita dari Sungai Petani, Kedah bersama pasangannya berusia 27 tahun dari Balik Pulau di sini untuk mengaburi mata pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dengan ‘berlakon’ sebagai pasangan suami isteri tidak berjaya apabila gagal membuktikan status perkahwinan mereka.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguat Kuasa JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, pasangan terbabit adalah antara 50 individu yang berjaya ditahan pihaknya dalam operasi mencegah khalwat sempena cuti umum tahun baharu di sekitar negeri ini.
Menurutnya, operasi bermula pukul 2 pagi dan tamat lima jam kemudian itu, memeriksa beberapa hotel bajet di sekitar daerah Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara dan Timur Laut.
“Semua yang ditahan berusia antara 18 hingga 36 tahun dan dibawa ke pejabat agama di Butterworth di sini, untuk tindakan susulan setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.
“Jika sabit kesalahan semua yang ditahan termasuk beberapa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) boleh didenda tidak kurang RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Khairul Azman, semua yang ditahan terdiri daripada 26 lelaki dan 24 wanita.
Kata beliau, pihaknya akan terus menjalankan operasi mencegah maksiat itu dari semasa ke semasa di seluruh negeri ini, lapor Utusan.
-kualalumpurpost-
1 ulasan:
Operasi hanya terhad keatas hotel bajet..
Hotel 4-5 bintang,jab agama tak berani
Catat Ulasan