"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Haji Hadi buat kenyataan pelik - Mat Sabu

Mat Sabu: Kenyataan Hadi tak hadir himpunan anti-Najib 'pelik'

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan tidak akan hadir pada perhimpunan anti-Najib sebagai 'pelik'.

Menurut Mohamad, kenyataan presiden PAS itu yang didakwa hanya 'anti-Umno' dan bukan individu dalam parti itu, sebagai 'paling pelik dalam dunia'.

"Tak guna kita buat makan malam, buat kutipan derma, bertanding pilihan raya tapi tak mahu kuasa.

"Ini ucapan yang paling pelik dalam dunia sebagai ahli politik," katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan dalam sebuah majlis makan malam di Kuala Lumpur malam tadi.

Majlis makan malam itu turut dihadiri oleh Naib Presiden PKR Tian Chua serta Setiausaha Publisiti DAP Teresa Kok.

Malah, Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu juga berkata, beliau bersama rakannya dalam HARAPAN turut berhasrat untuk 'merampas' kuasa daripada kerajaan melalui pilihan raya.

Berbanding bekas partinya iaitu PAS, Mohamad berkata pihaknya bukan sahaja menolak parti Umno tetapi turut menolak calon dari parti itu dalam pilihan raya akan datang.

"Kawan-kawan Pakatan (HARAPAN) akan bertanding (pilihan raya) dan ambil alih kuasa sebab presiden parti lama kata mereka tak bertujuan merebut kuasa. Kami nak rebut kuasa.

"Kita tolak Umno, dan tolak orang yang menjadi calon Umno yang nak melawan dengan kita," katanya lagi.

Sinar Harian Ahad lalu melaporkan Hadi berkata beliau tidak akan menyertai sebarang himpunan bagi mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya.

“Saya anti-Umno tetapi tidak (anti) orang Umno, orang Umno tidak, orang Umno kita (PAS) hendak berbaik. Ada pun parti Umno sudah banyak (buat) kesilapan). (Oleh itu) saya tidak mahu terlibat dalam himpunan (anti-Najib) itu,” katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: