"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pegawai Guan Eng, Zaidi bekas Major TUDM kena tampar depan masjid oleh ahli PAS


Seorang bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditampar peserta himpunan membantah campur tangan kerajaan Pulau Pinang di George Town hari ini.

Zaidi Ahmad yang kini menjadi pegawai penerangan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dilaporkan cuba membuat provokasi ketika bekas ketua pemuda PAS negeri itu, Mohamed Hafiz Nordin, menyampaikan ucapan.

Harian Metro melaporkan, kejadian berlaku di Masjid Simpang Enam kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Portal itu melaporkan Mohamed Hafiz kini mengetuai Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP).

Tindakan Zaidi itu didakwa dihalang beberapa peserta sebelum seorang daripada mereka menjadi berang dan menampar mukanya.

Bagaimanapun, kekecohan itu dikawal dengan bantuan anggota polis yang berada di tempat kejadian.

Sementara itu Zaidi berkata, dia tidak terjejas dengan insiden berkenaan malah menganggapnya sebagai perkara biasa yang perlu dilaluinya.

Bagaimanapun dia yang berpangkat major semasa menganggotai TUDM di Butterworth itu menafikan membuat provokasi semasa Mohamed Hafiz berucap.

"Saya berada di masjid itu ketika Hafiz berucap menuduh kerajaan Pulau Pinang campur tangan dalam fatwa negeri. Jadi saya bertanya kepada dia," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Zaidi, dia cuma ingin tahu fatwa mana yang ada campur tangan kerajaan negeri, tapi tiba-tiba dia diserang.

Tidak terganggu dengan insiden itu Zaidi cuba bertanya kepada Mohamed Hafiz itu lagi namun perhimpunan berkenaan tamat kira-kira 10 minit kemudian.
Bangkit isu dakwat SPR

Ditanya sama ada akan mengambil tindakan ke atas penyerangnya, Zaidi berkata, tiada cadangan untuk berbuat demikian.

"Dia pun orang dah tua," katanya.

Mohamed Hafiz (gambar) adalah seorang daripada pemimpin pemuda PAS Pulau Pinang yang tidak senang dengan kerjasama parti itu dengan PKR sejak sebelum pilihan raya umum ke-13 lagi.

Tempatnya digantikan oleh Mohd Yusni Mat Piah yang terlibat menjadi calon ketiga di kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh pada 2013.

Kemunculan calon PAS itu disebut-sebut menyumbang kepada kemenangan BN - yang diwakili Datuk Mahmud Zakaria.

Calon kedua di kerusi itu ialah Badrul Hisham Shaharin yang dari PKR.

Mohamed Hafiz pula terlibat dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan selain menjadi pendakwah di masjid dan surau.

Zaidi pula dibesarkan di Kepala Batas dan menjadi perhatian ramai apabila membangkitkan isu kesahihan dakwat digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada PRU ke-13 lalu.

Khidmatnya bersama TUDM ditamatkan oleh mahkamah tentera pada 2014. Zaidi sempat menyertai PAS seketika sebelum berpindah menjadi anggota Parti Amanah Negara (AMANAH).

Zaidi kemudian mengumumkan penyertaannya ke dalam DAP.
-malaysiakini

Tiada ulasan: