LIEW CHIN TONG
Sebaik keriuhan pilihan raya selesai, terutama jika kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan, sejarah akan menandakan 14 Julai 2017 sebagai titik perubahan besar negara.
Sidang media diadakan pada 12.30 tengah hari pada 14 Julai 2017 di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat. Pakatan Harapan mengumumkan logo, barisan pimpinan dan pelan polisi awal.
Saat bersejarah itu boleh dilalui dan diterjemah dari pelbagai sisi. Ia menandakan berakhirnya mesyuarat empat jam dengan kesimpulan yang menggembirakan hasil berbulan susah-payah dalam memikirkan cara paling berkesan menggabungkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dengan parti-parti Pakatan Harapan sedia ada, iaitu PKR, DAP, dan Amanah, selain pencapaian persefahaman dua dekad perseteruan politik antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan para penyokong dari kedua-dua tokoh politik itu.
Kini BN boleh dikalahkan
Suasana baru dapat dirasakan di mana-mana dengan harapan besar bahawa kini, akhirnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, UMNO dan Barisan Nasional boleh dikalahkan.
Kerajaan Najib dilihat semakin cemas. Menteri-menteri UMNO-BN masih lagi menggunakan skrip usang bahawa DAP merupakan dalang penentu keputusan dalam Pakatan Harapan untuk menakutkan pengundi Melayu. Sementara peranan Najib pula berada di barisan hadapan menyerang Dr. Mahathir, di mana peranan masing-masing sudah bertukar – Mahathir sebagai kerajaan dan Najib sebagai pembangkang.
Apa yang tidak dikupas tapi merupakan perkara paling penting dalam perkembangan terbaru ini adalah runtuhnya strategi serampang tiga mata Najib untuk memecah-belahkan pembangkang yang digunakannya sejak pilihanraya umum 2013.
Formula Pakatan ketika itu adalah dengan meletakkan Anwar Ibrahim sebagai peneraju pimpinan yang dilihat sebagai calon Perdana Menteri yang mampu menyatukan parti-parti pembangkang.
Ada dua jalan yang Najib boleh gunakan untuk berdepan cabaran itu. Jalan demokratik — dan beretika — adalah dengan melaksanakan reformasi dalam kerajaan serta memenangi hati dan minda pengundi dengan ikhlas. Namun, dengan pendedahan skandal 1MDB, beliau tanpa rasa bersalah telah menggunakan taktik kotor dan kaedah yang mencurigakan.
Bagaimana untuk hancurkan Pakatan Harapan
Strategi yang Najib gunakan adalah:
Pertama, singkirkan Anwar Ibrahim untuk memastikan pembangkang hilang pemimpin yang layak dan berhak menjadi Perdana Menteri;
Kedua, memancing PAS untuk memberi sokongan kepada Barisan Nasional yang akan memecahbelahkan pembangkang sekaligus pengundi Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama (menjadikan PAS watak utama melawan DAP), dan menyusun agar PAS terlibat dalam pertandingan tiga penjuru untuk memecahkan sokongan dalam kalangan pengundi Pembangkang; dan,
Ketiga, selepas Anwar disingkirkan dan PAS berada di dalam poket BN, kempen Najib akan menumpukan usaha memomokkan Pembangkang sebagai “Cina” yang didominasi oleh DAP untuk menakutkan lagi pengundi Melayu.
Dalam kata lain, rancangan Najib adalah untuk menang dengan memecahbelahkan Pembangkang secara sistematik. Dalam penggal pertama 2017, Najib cukup yakin beliau akan menang besar dan mengekalkan kuasa serta mungkin kekal berkuasa untuk satu dekad lagi. Dengan begitu yakin, beliau dilihat cuba menyingkirkan beberapa pemimpin utama UMNO sebelum pilihanraya umum untuk meletakkan barisan baru pimpinan yang setia kepadanya.
Jika Najib mengadakan pilihanraya umum mengejut pada pertengahan 2016, atau awal 2017, peluang untuk Barisan Nasional menang besar sangat tinggi.
Sejak pilihanraya umum pada Mei 2013 dan penyertaan 300,000 rakyat dalam himpunan BERSIH 4 pada 30 dan 31 Ogos 2015, sokongan kaum bukan-Melayu kepada Pembangkang masih kekal meskipun terdapat banyak cabaran. Tetapi selepas kekalahan Pembangkang dalam pilihanraya negeri Sarawak pada Mei 2016 dan dua pilihanraya kecil, masing-masing di Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada Jun 2016, harapan untuk mengubah kerajaan kembali pudar.
Lelah, kecewa, dan putus asa menjadi luahan rasa umum.
Memancing PAS
Sebelum ini, tahun 2014 menyaksikan percubaan Anwar untuk mengembalikan kepimpinannya melalui Langkah Kajang yang telah dihalang serta-merta melalui tindakan mahkamah, PAS, istana dan seteru lain. Beliau dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh pada 10 Februari 2015.
Dua hari selepas itu, pemimpin utama PAS yang berjiwa -Pakatan, Mursyidul Am Tok Guru Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 12 Februari 2015, yang kemudian membuka jalan kepada kerjasama Hadi-Najib /PAS-UMNO.
Bantahan Hadi Awang terhadap Langkah Kajang dan serangan susulan terhadap Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor sepanjang 2014, selain kerjasama terbuka di antara PAS dan UMNO dalam isu hudud sejak Mac 2014, menyebabkan Pakatan Rakyat tidak dapat dipertahankan dan menyerlahkan bahawa PAS bukan lagi sekutu yang boleh diharapkan.
Sejak pilihanraya 8 Mac 2008, UMNO gigih mengajak PAS untuk membentuk satu gabungan Melayu bagi memecahbelahkan Pakatan Rakyat yang pelbagai kaum dan sekaligus menghapus kemungkinan untuk menukar kerajaan.
Namun ia gagal kerana PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat atas komitmen Nik Aziz untuk menumbangkan UMNO, selain kehadiran pemimpin progresif dalam parti itu sendiri yang kebanyakannya muncul pada era reformasi dengan idea jelas bahawa PAS perlu bekerjasama dengan sekutu yang terdiri dari pelbagai kaum.
Secara asasnya, satu-satunya cara untuk mengalahkan UMNO dan Barisan Nasional melalui peti undi adalah dengan membentuk pakatan yang kental tanpa mengira garis kaum, serta mendapat sokongan kuat pengundi di Sabah dan Sarawak.
Pemimpin progresif dalam PAS meninggalkan parti itu selepas muktamar pada Jun 2015, yang juga menandakan berkuburnya Pakatan Rakyat. Mereka membentuk Parti Amanah Negara pada 16 September 2015, dan pada 22 September 2015 menyertai PKR dan DAP untuk membentuk Pakatan Harapan.
Kekosongan kepimpinan
Sejak awal 2015, butiran maklumat tentang skandal melibatkan Najib, Jho Low dan 1MDB diterbitkan di laman web Sarawak Report. New York Times melaporkan beberapa maklumat berkaitan pada Mac 2015, yang mengejutkan negara dan menyebabkan Najib menyeru sokongan daripada semua ketua bahagian UMNO.
Laporan Wall Street Journal pada Julai 2015 mengenai 681 juta dolar didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib pula mencetuskan percubaan untuk menggulingkan Najib dari dalam parti, namun berjaya digagalkan dengan pemecatan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Shafie Apdal , dan Peguam Negara Gani Patail pada 28 Julai 2015.
Mukhriz Mahathir pula dipecat pada Februari 2016, mengukuhkan cengkaman Najib dalam UMNO. Namun ia melebarkan jurang di antara elit UMNO dan orang Melayu biasa. Para pemimpin UMNO yang tidak setuju dengan skandal Najib sudah tidak berani bersuara lagi. Sokongan kepada Najib dari kalangan rakyat Malaysia terjerumus teruk pada penghujung 2015.
Terdapat kekosongan kepimpinan dalam kalangan orang Melayu yang anti-Najib.
Langkah Mahathir
Terdapat beberapa percubaan oleh Dr Mahathir untuk bekerjasama dengan badan-badan sivil termasuk dua kunjungannya dalam himpunan BERSIH 4.0 pada 30 dan 31 Ogos 2015, namun ia tidak ke mana berikutan halangan daripada pemimpin masyarakat sivil.
Akhirnya, Mahathir mengambil langkah drastik dengan keluar daripada UMNO pada 29 Februari 2016 dan mengilhamkan Deklarasi Rakyat pada 4 Mac 2016.
Deklarasi Rakyat sebagai gerakan sosial hanya berjaya mengumpul tandatangan, namun kesan gambar di majlis pelancaran inisiatif di mana Mahathir duduk bersama Lim Kit Siang mencetuskan satu gelombang yang mengejutkan negara. Saya berbincang dengan seorang bekas menteri kanan era Mahathir sehari sebelum acara itu. Beliau bersungguh-sungguh memujuk Mahathir agar tidak menjemput Kit Siang dalam sidang media itu. “Tunggu sehingga fasa kedua.” Malah, dalam kalangan DAP, ramai yang tidak senang dengan tindakan Kit Siang duduk semeja dengan Mahathir.
Namun ramai yang lupa bahawa Kit Siang dan Mahathir sedar bahawa untuk mewujudkan sebuah pakatan yang berkesan melawan Najib, mereka perlu mencari jalan untuk bekerjasama. Kedua-dua tokoh itu dikecam oleh penyokong masing-masing namun mereka tetap berpendirian teguh. Dan akhirnya mereka berhasil.
Muhyiddin dan Mahathir kemudian menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada September 2016 sebagai platform anti-Najib untuk orang Melayu.
Dr. Mahathir pantas memahami bahawa sebuah pakatan tunggal amat penting untuk memenangi pilihanraya akan datang. Dalam Konvensyen Pakatan Harapan pada 12 November 2016, beliau mengumumkan bahawa Bersatu sedia menjadi komponen Pakatan Harapan. Pada masa itu, pemimpin Bersatu yang lain masih lagi di tahap pemikiran bahawa sebuah pakatan yang longgar adalah lebih baik kerana ia boleh membuka ruang untuk mereka berbincang dengan PAS.
Pada 4 Disember 2016, dua acara yang berlainan diadakan di ibu kota. Najib hadir bersama Hadi Awang untuk acara menyokong pelarian warga Rohingya manakala Mahathir, bersama pimpinan Pakatan Harapan lain menghadiri Persidangan DAP. Gambaran berbeza itu menyimpulkan landskap baru politik negara.
Pakatan Harapan baru yang lebih kukuh
Bersatu dan parti-parti asal Pakatan Harapan menandatangani perjanjian pada 13 Disember 2016, sebagai bermulanya kerjasama “PH + Bersatu”. Pada 27 Disember 2017, Bersatu menyertai Pakatan Harapan sebagai komponen rasmi selaras dengan hasrat Dr Mahathir untuk sebuah gabungan yang lebih kukuh bagi memaksimumkan keyakinan rakyat kepada Pembangkang.
Pengumuman penting yang memberi harapan baru kepada rakyat pada 14 Julai itu tidak hadir begitu saja. Ia adalah hasil daripada banyak perbincangan yang rumit.
Empat mesyuarat Majlis Presiden diadakan: pada 30 April di pejabat PPBM, 31 Mei di Yayasan Kepimpinan Perdana , 9 Jun di pejabat PPBM dan 13 Julai di pejabat PKR, selain beberapa mesyuarat kecil dalam pelbagai format dan kumpulan.
Apabila parti-parti ini menggabungkan diri mereka dalam sebuah pakatan, ia memang membuktikan mereka berbeza dan mempunyai sokongan masing-masing. Jika tidak sudah tentu mereka akan membentuk parti tunggal. Persoalan utama mereka adalah bagaimana untuk mencapai kata sepakat pada 2017 sejak berlakunya perpecahan di antara Anwar dan Mahathir pada 1997. Lagi pun memang ada persaingan yang tersirat di antara PKR dan PPBM dalam Pakatan Harapan.
Proses itu menemui jalan buntu pada mesyuarat 9 Jun. Namun ia berjaya diselesaikan selepas Mahathir dan Nurul Izzah Anwar bertemu di London ketika Hari Raya Aidilfitri. Mesyuarat di London membuka jalan kepada pemeteraian perjanjian struktur kepimpinan Pakatan Harapan..
Sewaktu dilema jalan buntu sebelum itu, setiap kali ditanya tentang situasi itu, jawapan yang biasa saya berikan adalah apa salahnya kita berikan masa beberapa hari atau minggu untuk menyelesaikan perseteruan politik yang berpanjangan sejak 20 tahun lalu. Ia penting untuk mencapai kata sepakat yang tulen dan ikhlas. Dan jika ia benar-benar tulen dan ikhlas, seluruh negara akan merasainya dan ia akan memberi semangat baru, sebagaimana yang dirasai sekarang.
Kembali bersama
Kini rakyat dapat merasakan perubahan kerajaan – yang diterajui Mahathir dan Anwar – seperti kembali kepada era kegemilangan pra-1997, sebuah era kemakmuran dekad 90-an. Suasana baru menampilkan kehadirannya.
Yang menariknya, mesyuarat 14 Julai merupakan kunjungan pertama Mahathir ke ibu pejabat PKR – markas utama parti yang ditubuhkan untuk menentang beliau dua dekad lalu.
Anwar dan Mahathir merupakan suara penting yang membentuk corak politik tanah air sejak hujung 1960-an. Mahathir menjadi Ahli Parlimen mulai 1964 manakala Anwar dikenali sebagai pemimpin pelajar pada penggal kedua 1960-an. Kedua-duanya pernah bekerjasama sejak mula terlibat dalam politik pada era itu. Surat rahsia Dr Mahathir kepada Tunku Abdul Rahman menggesa Perdana Menteri pada masa itu meletak jawatan selepas rusuhan 13 Mei 1969 telah disebarkan di Kuala Lumpur oleh kumpulan pelajar yang dikaitkan dengan Anwar.
Sejak menyertai UMNO seminggu sebelum pilihanraya umum 1982, Anwar dilihat sebagai anak didik Mahathir, sehinggalah beliau dipecat pada 2 September 1998.
Mereka mempunyai kekuatan tersendiri. Dalam separuh abad yang lalu, Anwar dan Mahathir mempunyai penyokong setia masing-masing dan mampu menarik sokongan golongan sederhana – golongan majoriti di Malaysia – yang tidak mampu dilakukan oleh ahli-ahli politik lain. Sentiasa ada individu yang sanggup berkorban untuk idola mereka walaupun di belantara politik, atau dalam situasi Anwar, di dalam penjara.
Najib tidak pernah merasakan kesetiaan seperti itu, dan Khairy Jamaluddin lebih berminat menjadi selebriti. Rakyat mungkin suka mereka tetapi tidak akan sayang mereka.
Tiada pemimpin Melayu selain Mahathir dan Anwar yang mempunyai penyokong yang begitu setia. Kesan gabungan Anwar dan Mahathir dengan mudah mengisi kekosongan kepimpinan ketika ini di mana pengundi Melayu umumnya membenci Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.
Memang Anwar dan Mahathir pernah dalam karier politik mereka dilihat sebagai “ultra” yang dilihat menjejaskan hak dan kepentingan orang bukan-Melayu. Tapi kedua-duanya telah menyedari apa yang mereka lalukan dahulu dan kini diterima dengan baik dan hormat oleh golongan bukan Melayu serta rakyat berjiwa sederhana.
Wawasan 2020 pernah menjadikan Dr Mahathir Perdana Menteri pilihan di kalangan bukan-Melayu. Anwar juga disukai orang bukan-Melayu pada 1990-an, dan sewaktu era Pakatan Rakyat sebagai calon Perdana Menteri.
Detik penentu kejayaan
Selepas struktur pimpinan pembangkang diumumkan pada 14 Julai, agak lucu apabila melihat satu demi satu menteri UMNO tampil dengan skrip usang menuduh DAP menjadi dalang dalam Pakatan Harapan. Tuduhan seperti itu tidak lagi berkesan memandangkan mereka kini terpaksa berhadapan dengan barisan pimpinan Mahathir-Anwar.
Tawaran Baru pada 14 Julai menjadi titik perubahan utama apabila Pembangkang bangkit semula selepas ditindas teruk oleh Najib yang memenjarakan Anwar dan membawa masuk PAS ke dalam poket BN.
Sejarah politik Malaysia kini bergerak masuk ke dalam era yang sukar diramalkan tetapi penuh dengan detik-detik penentu kejayaan.
Liew Chin Tong ialah Ahli Parlimen Kluang dan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan