Pakatan Harapan (Harapan) akan menganjurkan himpunan besar-besaran pada 14 Oktober depan sebagai penutup kepada jelajah penerangan mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua ketika membuat pengumuman itu bagaimanapun berkata lokasi himpunan akan ditentukan kemudian.
"Kita buat jelajah mengenai 1MDB bermula di Penaga, Pulau Pinang, itu pra pelancaran dan malam ini pelancaran rasmi oleh Pakatan Harapan.
"Kita akan teruskan ke seluruh negara dan akan akhiri dengan himpunan besar-besaran pada 14 Oktober ini," kata Pua di ceramah perdana "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Shah Alam, malam tadi.
Terdahulu, Tony yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menarik perhatian kira-kira seribu hadirin dengan penerangannya mengenai kronologi skandal 1MDB yang telah mendapat perhatian dunia termasuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
Ceramah itu turut dibarisi Pengerusi Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden Mohamad Sabu yang juga Presiden Amanah, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli manakala Ketua Komunikasi Amanah Khalid Samad sebagai moderator.
Ia merupakan ceramah pertama Harapan selepas struktur organisasi dan logonya diumumkan pada 14 Julai lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan