Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini melontarkan pertanyaan, apakah yang sebenarnya dibesarkan oleh penyokong parti politik apabila mereka melaungkan takbir.
Katanya, adakah mereka benar-benar membesarkan Allah atau sebaliknya sekadar membesarkan parti sendiri dengan menggunakan nama tuhan.
Menurut Mohd Asri dalam keadaan begitu jugalah sesetengah individu berasa "hairan" apabila melihat ada artis menggunakan nama agama di kelab malam.
"Apakah beza antara hal itu dengan apa yang orang politik lakukan selama ini ketika memperdagangkan agama untuk undi pilihan raya? Bahkan orang politik dalam banyak hal lebih dahsyat!" katanya hari ini.
Mohd Asri yang selalu mengulas pelbagai isu semasa juga mengingatkan ada parti politik yang menggunakan ungkapan "berjuang dan berpolitik untuk menegakkan hukum Allah" tetapi pada masa sama melanggar apa yang dilarang Islam.
Katanya ganjil benar apakah yang difahami oleh pihak terbabit mengenai "hukum Allah" yang selalu diulang-ulang berkenaan.
"Tidakkah menurut hukum Allah kita dilarang memaki hamun, menggelar orang lain dengan gelaran buruk, mengkafir sesama Muslim, berbohong apatah lagi atas nama politik agama, memfitnah orang lain, memutar belit nas-nas agama untuk kepentingan politik kepartian, rasuah, menentukan sah batal amalan agama berdasarkan sokongan kepada parti apa lagi menentukan syurga neraka dengan lambang parti politik.
"Tidakkah dalam perjuangan mereka yang kononnya atas nama menegakkan hukum Allah, entah berapa banyak hukum Allah yang telah dilanggar," katanya.
Justeru menurut Mohd Asri, berdasarkan tindakan yang dapat dilihat itu mendorong pertanyaan sama ada kumpulan parti politik itu memang mahu menegakkan hukum Allah atau sekadar mahu meraih undi dalam pilihan raya.
Bagaimanapun mufti itu tidak menamakan kumpulan atau parti politik terbabit.
"Jika ada parti yang tidak terbabit, jangan terasa," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan