"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peringatan: Jangan membabitkan yang tidak terbabit

DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL
SAYA ingin mengingatkan saudara-saudara semuslim saya bahawa Islam itu adil untuk semua. Dalam suasana yang tegang ini, janganlah kita menghukum atau bertindak kepada mereka yang tidak terbabit dengan jenayah dan ketegangan yang berlaku. Seperti mana kita marah atas apa yang berlaku kepada anggota bomba yang dizalimi tersebut, demikian kita tidak boleh memperlakukan tindakan sama yang tidak wajar kepada mereka yang mencintai keamanan.

2. Kita wajar mengakui, di sana ada ramai Kaum India dan penganut Hindu dalam negara ini yang masih cinta kepada keamanan. Mereka tidak memusuhi masyarakat Muslim. Bahkan sejak sekian lama mereka hidup dengan penuh hormat dan harmoni dalam negara ini. Mereka merupakan rakyat seperti kita yang kita wajar hormati dan mahu hidup bersama dengan aman.

3. Saya melihat kenyataan beberapa pemimpin beragama Hindu terutamanya daripada MIC yang telah mengeluarkan kenyataan yang matang, harmoni dan damai. Jelas, keengganan mereka kepada suasana ketegangan kaum. Ini sangat dihormati. Bahkan mereka menyalahkan secara khusus pemimpin politik India tertentu yang menimbulkan provokasi. Ini menunjukkan mereka cenderung kepada sikap yang lebih adil untuk semua.

4. Di sana ada sahabat handai kita yang beragama Hindu yang selama ini baik dan tidak pernah melancarkan permusuhan ke atas kita. Maka hendaklah kita bersikap baik kepada mereka. Adalah haram dan berdosa di sisi agama jika kita menzalimi mereka.

5. Berikut merupakan beberapa dalil dari al-Quran dan al-Sunnah yang menyuruh kita adil dan tidak menzalimi golongan non-muslim yang tidak bermusuhan dengan kita.

a. Firman ALLAH dalam Surah Al-Maidah ayat 8;

(maksudnya) : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

b. Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Ketahuilah! sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat non-muslim) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat”. (Riwayat Abu Daud, sahih).

c. Firman ALLAH dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8-9:

(maksudnya): “ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya ALLAH hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Inilah keindahan Islam yang tidak akan memusuhi pihak yang tidak memusuhinya.

***Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan Mufti Perlis

Tiada ulasan: