"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pesaing politik dalam PRU bukan musuh yang dilaknat

AKMAL HAZIQ
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Hasanuddin Mohd Yunus mengingatkan parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang supaya tidak menganggap pesaing politik sebagai musuh yang dilaknat.

Kata beliau, menjelang PRU14 masing-masing parti akan cuba cari pengaruh dan tentunya ia bukan satu kesalahan.

Yang malang dan salahnya kata beliau, apabila kita menganggap lawan atau pesaing politik kita dari parti lain sama dengan tentera Ahzab yang memang memusuhi Islam, Nabi S.A.W dan masyarakat Madinah yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama itu.

“Tiada kebimbangan doa itu dimakbulkan, kebimbangan pada menanam permusuhan dan kebencian sesama rakyat Selangor.

“Kita diajar agar sentiasa berdoa dengan doa yang baik-baik, malah sentiasa menjernihkan minda dengan objektif yang positif,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau dipercayai merujuk kepada isu kontroversi doa laknat pimpinan Pas, Ustaz Dusuki Abd Rani dalam satu program parti itu di Selangor baru-baru ini.

Jelas Hasanuddin, Nabi S.A.W pernah berpesan sebelum satu peperangan kecil:

“Wahai manusia! Jangan bercita-cita bertembung dengan musuh, mohonlah kepada Allah S.W.T “al-afiah” keamanan/kesejahteraan. Sekiranya terpaksa bertembung; bersabarlah dan ketahuilah bahawa syurga itu di bawah kilauan pedang”.

Bukankah pernah seorang sahabat yang sedang beremosi dan geram kepada masyarakat musyrikin Mekah pernah meminta Nabi S.A.W mendoakan kecelakaan buat mereka di Mekah itu, jelasnya lagi.

Nabi S.A.W membetulkan cara berdoa itu; sehingga dirakam dalam kitab-kitab Hadis, tambahnya.

Dari Abu Hurairah r.a berkata: Nabi S.A.W pernah diminta: “Wahai Rasûlullâh, doakanlah kecelakaan/kebinasaan untuk kaum musyrikin!” Baginda S.A.W menjawab:

“Sesungguhnya aku tidaklah diutus sebagai pelaknat, sesungguhnya aku di utus hanya sebagai rahmat.” [HR. Muslim, no. 2599]

“Kami bersama anda dalam sebuah pertandingan pilihan raya yang sihat dan bersih. Kita terjemahkan Islam yang indah untuk manfaat semua rakyat Malaysia.

“Kita bersama pertahan Kuasa Raja-Raja Melayu mengikut Perlembagaan Negara dan Islam sebagai Agama Persekutuan di samping semua kaum bebas beramal dengan ajaran agama masing-masing,” kata Penyelaras Pusat Peduli Rakyat Parlimen Hulu Langat itu.

Beliau mengingatkan Pas, supaya jangan membakar kebencian melampau terhadap lawan politik dengan doa yang salah.
“Doa yang boleh menimbulkan kebencian dan berunsur hasutan,” kata beliau

Tiada ulasan: