"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
ARIF ATAN
Naib Presiden AMANAH, Senator Datuk Husam Musa berkata, Pas dilihat hanya cenderung menjadikan partinya sebagai pusat hukum yang terlalu kerap berubah.

“Bagaimana cara untuk mengenali orang itu jadikan diri mereka sebagai pusat hukum? Apa yang mereka buat dijadikan sesuatu yang halal kononnya bersandarkan al-Quran tidak menjadikan hukum sebagai pusat untuk membetulkan diri mereka.

“Kalau mereka suka, hukum jadi boleh. Kalau tidak suka, jadi sebaliknya. Kadang-kadang 20 kali sehari berubah hukum.

“Tidak usah 20 tahun, dalam dua minggu berubah. Dalam dua bulan, tiga kali berubah,” katanya dalam ceramah Munajat Perdana dan Penerangan Isu Semasa di Dewan Aisyah Pasar Mulong dekat Kubang Kerian baru-baru ini.

Sehubungan itu, Husam menyatakan amat gelisah dengan sikap Pas yang akan memberi tanggapan buruk kepada orang bukan Muslim di negara ini berkenaan Islam.

“Apa yang menggelisahkan saya apabila orang yang dulu memperjuangkan Islam telah mencampur adukkannya dengan fahaman kebangsaan Melayu,”

“Ini paling menggelisahkan saya. Bukan kerana Melayu tidak penting tetapi sampai peringkat menidakkan kemungkinan hidayah ini jatuh kepada bangsa-bangsa lain dan menganggap Islam ini hanya dipertahankan oleh Melayu semata-mata, ini betul-betul menggelisahkan saya,” ujarnya.

Menurut bekas Naib Presiden Pas itu, keadaan tersebut lari jauh daripada apa yang diasaskan pemimpin Pas sebelum ini.

“Sebelum ini bahkan telah menjadi tajuk muktamar Pas – Menggempur Pemikiran Assabiyah pada tahun 1980-an. Pada hari ini, yang digempur itu patah balik.

“Jadi mana yang betul? Menggempur pemikiran assabiyah atau pakai Melayu Islam yang betul? Kalau pakai balik baju Melayu Islam lebih daripada menggempur pemikiran assabiyah bermakna perjuangan Pas pernah salah.

“Kalau dulu salah, sekarang ini betul, boleh jadi sekarang ini betul, dulu salah atau hari ini salah, esok-esok betul. Jadi, tidak semua pendirian politik Pas itu betul. Maka tidak peliklah kita buat parti baru (AMANAH) pun,” jelasnya.

Mengulas lanjut tentang pendirian Pas, Husam berpendapat Pas boleh baik dengan semua orang dan boleh menjatuhkan hukum pada ketika hendak berbaik.

“Apabila nak berbalah dengan orang, salah orang belaka. Dia (Pas) bawa ayat yang mengatakan boleh berbalah bahkan wajib berbalah dengan orang ini.

“Misalnya, kalau Mat Sabu (Presiden AMANAH) berbaik dengan Umno, mereka boleh katakan haram sebabnya mereka bencikan Mat Sabu bukannya kerana hukum. Dia bawa dalil pula nanti,” katanya lagi.

Tiada ulasan: