"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kemelut dalaman Umno, apa kesudahannya?

GHAFAR NS

Ketika DAP dalam kerajaan, mereka kata Parti Tindakan Demokratik (DAP) punca perpecahan masyarakat, terutamanya bangsa Melayu.

Tapi, sejak belakangan ini Melayu dilihat lebih teruk berpecah, terutamanya dalam parti Melayu United Malays National Organisation (Umno), sedangkan DAP kini bukan lagi siapa-siapa dalam komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN). Aneh bukan?

Sebenarnya tuan-tuan, puan-puan pembaca, tiada sebab untuk DAP memecahbelahkan negara atau kaum Melayu melainkan kerakusan dan ketamakan sesetengah orang Melayu itu sendiri.

Dek kerana jawatan dan kuasa mereka bertengkar sesama sendiri. Misalnya, teguran pedas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki terhadap mantan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa yang cuba melaga-lagakan Umno dengan Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

“Adakah beliau (Annuar Musa) kini sudah menjadi ‘jurucakap’ kepada abang besarnya iaitu Bersatu?” Asyraf Wajdi mempersoal pendirian Annuar Musa yang tindakannya dilihat mengelirukan dan berupaya memecah-belah Muafakat Nasional serta Umno sendiri.

Annuar sebelum ini dikritik hebat oleh akar umbi Umno sendiri kerana seolah-olah membawa suara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mengakibatkan beliau dipecat sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Yang paling tidak masuk akal, Annuar Musa bercakaran dengan teman-teman Umno-nya, tapi DAP pula yang diheret bersama dalam kemelut tersebut.

Khabarnya, Umno ingin bekerjasama dengan DAP untuk membentuk kerajaan baru.

Satu tindakan desperado yang jelas bermotif jahat demi mempertahankan kedudukannya semata-mata.

Pergolakan dalaman Umno ini seolah-olah tiada kesudahannya apabila ada khabar yang bertiup mengatakan bahawa Muhyiddin Yassin berhasrat melantik sama ada Hishammudin Hussein atau Ismail Sabri sebagai timbalan Perdana Menteri.

Majoriti pemimpin akar umbi Umno menolak kerjasama parti itu bersama PPBM dan berita-berita begini seolah-olah membelakangkan pandangan dan hasrat Umno di peringkat bahagian.

Malah ada pemimpin bahagian yang melaporkan bahawa sebahagian besar akar umbi tidak bersetuju jika Hishamuddin atau Ismail Sabri dilantik sebagai timbalan Muhyiddin kerana mereka lebih rapat dengan PPBM dan mungkin tidak berupaya membela kepentingan Umno.

Adakah ‘kepentingan Umno’ yang mereka maksudkan adalah pengguguran kes-kes mahkamah yang melibatkan banyak pihak dalam Umno?

Ini antara lain memetik kenyataan daripada Setiausaha Agung BN yang baharu, Ahmad Maslan apabila beliau menyatakan bahawa ‘kemarahan’ Umno terhadap kerajaan PN adalah kerana pendakwaan mahkamah terhadap beberapa tokoh parti itu masih juga diteruskan.

Ahli Parlimen Pontian itu juga menyelar PN sebagai ‘zalim’ kerana meneruskan pendakwaan politik terhadap tokoh-tokoh Umno sejak zaman Pakatan Harapan (PH).

Namun, kenyataan Ahmad Maslan dikritik sinis oleh bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan bahawa kenyataan Ahmad Maslan hanya standard goreng pisang yang hanya sedap dimakan ketika panas.

Pandangan Khairy juga senada dengan Annuar Musa bahawa cubaan sebahagian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) disegerakan sebelum perintah darurat ini merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Pengumuman perintah darurat bermula 13 Januari sehingga 1 Ogos 2021 menyekat hasrat sebahagian besar anggota Umno yang berniat untuk mengadakan PRU.

Namun, apakah nasib Umno selepas ini? Hakikatnya kini semua mengetahui bahawa mereka saling bercakaran dan tidak sepakat dalam beberapa hal.

Apakah agaknya kesudahan kemelut parti Melayu ini?

Tiada ulasan: