"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dedah segera dalang kartel daging, jangan biar rakyat berteka teki

MALAYSIA DATELINE

Dalang sebenar isu kartel daging perlu didedahkan dengan segera kerana ia melibatkan kepentingan awam terutama umat Islam demikian menurut peguam Syahredzan Johan.

Beliau berkata, setakat ini hanya berlaku pendakwaan terhadap syarikat yang dikatakan terlibat dan beberapa siasatan dijalankan namun dalang sebenar masih belum didedahkan kepada umum.

“Kerajaan perlu segera mendedahkan dalang di sebalik kartel tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam terutamanya umat Islam di negara ini.

“Kita sambut baik semua perkara ini, tetapi dalang kartel daging ini masih belum didedahkan kepada umum,” katanya dipetik Roketkini.

Ekoran itu, katanya orang ramai terpaksa berteka-teki tentang daging import mana yang terlibat sehinggakan ada yang mengambil inisiatif sendiri dengan membuat ‘siasatan’ melalui media sosial.

“Perkara seperti ini tidak sihat, kerana ada kemungkinan bahawa syarikat yang tidak terlibat pun terpalit sama,” katanya.

2 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan serbuan pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor yang menjadi lokasi modus operandi kartel daging selama bertahun-tahun.

Difahamkan daging beku itu diseludup dari dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal. 

Sejumlah 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta telah disita dalam operasi yang diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor pada 21 Disember lalu telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import atau kartel daging import.

Senator, Liew Chin Tong sebelum ini menegaskan isu kartel daging boleh menjejaskan reputasi negara sekiranya tidak disiasat sepenuhnya.

Beliau turut menyokong sepenuhnya cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu tersebut.

Mengulas lanjut, Syahredzan yang juga Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata kerajaan perlu segera memaklumkan langkah yang akan diambil bagi memastikan isu kartel daging tidak berulang.

“Jelas bahawa terdapat kepincangan dalam proses ini yang membolehkan ia dieksploitasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Suatu semakan semula yang menyeluruh dan ‘overhaul’ harus dijalankan untuk menjamin perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Tiada ulasan: