"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Nak ikut arahan siapa? Ismail Sabri atau Annuar Musa?’

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh membidas ketidakseragaman menteri-menteri kabinet dalam membuat keputusan mengenai kebenaran untuk beriadah tertentu di taman awam, susulanpenguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kali kedua di Kuala Lumpur.

“(Pada) 13 Jan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) arahkan semua taman awam ditutup. Ahli Parlimen KL (kemudiannya) minta taman awam dibuka.

“(Pada) 14 Jan lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob kata tak boleh, taman awam mesti ditutup.

“(Hari ini) 15 Jan, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa kata taman awam dibuka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. 

Berbeza dengan PKP pada Mac, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Rabu lalu mengumumkan PKP 2.0 kali ini membenarkan aktiviti riadah tertentu di luar rumah dengan syarat tertentu yang harus dipatuhi.

Aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan ialah joging (dalam kumpulan tidak lebih daripada dua orang dan dalam lingkungan setempat serta berbasikal (bersendirian, tidak lebih daripada 10 km dari tempat kediaman).

Menurut Yeoh, prosedur opersai standard (SOP) seharusnya tidak dibuat sesuka hati manakala Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu menyelaraskannya betul-betul.

“Ada pengalaman sejak Mac 2020 kenapa masih tak ada pembaikan? MKN mesti selaraskan betul-betul.

“Pengumuman dibuat oleh dua menteri yang berbeza, kabinet yang sama, parti Umno yang sama.

“Tolong buat SOP berdasarkan sains. Jangan buat SOP sesuka hati,” katanya.

Rakan Yeoh, Ahli Parlimen DAP Teresa Kok yang mewakili Seputeh, juga di Kuala Lumpur turut meluahkan rasa kurang senangnya dengan kenyataan yang sentiasa berubah-ubah oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin itu.

“Bila kerajaan mengumumkan PKP dilaksanakan pada 12 Januari 2021, PM (Muhyidddin) kata jogging yang tidak melebihi dua orang dibenarkan dilakukan di taman awam. Pada 13 Januari, DBKL mengumumkan semua taman seliaan DBKL akan ditutup, dan Ahli Parlimen KL dan penduduk menyoal ketidaksehaluan pengumuman kerajaan.

“Semalam, 14 Januari, Menteri kanan Ismail Sabri buat u-turn atas pengumumannya dan berkata kita tidak boleh bersukan di taman dan hanya boleh bersenam berdekatan dengan rumah kediaman kita sendiri.

“Hari ini, 15 Januari, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa kata semua taman awam di Wilayah Persekutuan dibenarkan beroperasi dan buka kepada orang ramai. Pengumuman ini bercanggah dengan kenyataan Menteri Ismail Sabri semalam, “ katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Justeru, bekas menteri itu menyoal arahan siapa sama ada DBKL atau menteri mana yang perlu dipatuhi dan diikuti oleh rakyat.

“Ha ha!! Apa ini? Menteri di kabinet seolah-olah tidak bercakap di antara mereka dan membuat pengumuman yang bercanggah di antara satu sama lain sekarang.

“DBKL dan penduduk di KL sekarang nak ikut arahan siapa? Ismail Sabri ataupun Annuar Musa?

“Apakah arahan Annuar Musa ini akan di u-turn lagi ataupun diveto oleh Ismail Sabri nanti?” soalnya.

Tiada ulasan: