Bernama
KUALA TERENGGANU: Mohamed Salleh Abas sentiasa tegas dalam setiap urusan terutama dalam mengambil tindakan terhadap pegawai kerajaan negeri yang terlibat dalam salah laku dan tidak amanah sehingga ada yang ‘kecut perut’, sekiranya mereka ada melakukan kesalahan.
Perkara tersebut dikongsikan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahaya Ali, mengenang jasa bekas ketua hakim negara itu sepanjang berkhidmat dengan kerajaan negeri.
Salleh merupakan pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas ketika PAS memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004.
Yahaya berkata peranan Salleh sangat penting untuk menyemak dan mengimbang pentadbiran kerajaan negeri ketika itu.
“Allahyarham sangat tegas, semua aduan rakyat berkaitan perkhidmatan kerajaan negeri diberi perhatian serius. Mana-mana pegawai kerajaan yang dipanggil oleh Allahyarham pasti ‘kecut perut’ sekiranya terdapat salah laku.
“Oleh itu, pentadbiran negeri dapat berjalan dengan begitu telus kerana semua pihak terutama pegawai dan kakitangan kerajaan negeri faham apa akibatnya jika bertugas sambil lewa atau tidak amanah,” katanya.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, berkata PAS mengambil masa yang agak lama untuk memujuk Salleh bertanding di Dewan Undangan Negeri Jerteh pada pilihan raya umum 1999.
“Namun, kita katakan khidmatnya diperlukan kerana pengalaman yang sangat luas dalam bidang perundangan dan ia boleh dimanfaatkan dalam pentadbiran negeri. Akhirnya, Allahyarham bersetuju untuk bertanding dan menang dalam pilihan raya itu,” katanya.
Wahid berkata walaupun pernah berdepan ujian getir dipecat sebagai ketua hakim negara, Salleh tidak pernah berkeluh kesah mengenai perkara itu malah sentiasa merendah hati dan tidak kekok bergaul bersama orang kampung.
“Pernah sekali, ketika berada di pentas ceramah di Rusila, Marang saya terlihat beliau sedang khusyuk mendengar ceramah dan hanya duduk di atas pasir dengan beralaskan surat khabar bersama orang ramai. Saya maklumkan perkara itu kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Saya turun ke bawah dan mempelawa beliau untuk naik ke pentas seperti mana permintaan Abdul Hadi, namun beliau menolak lembut dengan alasan beliau datang untuk mendengar ceramah, kalau naik ke pentas nanti kena beri ceramah,” kata Wahid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan