Malaysiakini
Jika sebelum ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkias dengan mendakwa ada 'buaya' yang sudah memakan umpan dihulurnya, kini dia berkata buaya tersebut sudah menyelam kembali.
Menjawab soalan wartawan di Marang hari ini Abdul Hadi bagaimanapun enggan mendedahkan secara jelas siapa sebenarnya yang dimaksudkan sebagai "dua ekor buaya" itu.
Sebaliknya Abdul Hadi berkata orang ramai boleh menilai sendiri buaya yang dimaksudkannya.
"Sekarang 'buaya' menyelam balik...siapa buaya itu, orang dapat menilailah.
"Yang timbul itu siapa, yang menyelam balik itu siapa. Yang timbul dua ekor," katanya ringkas ketika ditemui media di Rusila, Terengganu.
Pada 9 Mac lalu, Presiden PAS itu membayangkan kenyataannya mengenai "buaya" semasa mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung status salah satu seksyen dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor hanyalah berbentuk 'umpan'.
Menurut Abdul Hadi, ketika itu dia berpendapat umpan yang dihulurkan itu sudah dimakan 'buaya' dan dia sedang menunggu masa yang sesuai untuk menyentap kail tersebut bagi melengkapkan gerakan tersebut.
"Saya sedang menunggu kail dimakan lebih dalam dan ditelan lebih ke dalam untuk menyentapnya," katanya dalam catatan terbaru siri Minda Presiden di Facebook.
Duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu menambah kenyataan dibuatnya itu bukanlah mencabar mana-mana pihak sebaliknya sekadar peringatan kepada pihak yang "masih berakal budi."
Bagaimanapun terdahulu - pada 4 Mac - melalui siri tulisan Minda Presidennya, Abdul Hadi menzahirkan rasa kecewanya kerana menurutnya ada hakim Melayu Islam yang "tiada dalam hatinya kepekaan terhadap Islam" walaupun negara sudah merdeka lebih 50 tahun.
Abdul Hadi juga berkata terdapat "hakim yang baru" hilang sensitiviti agama dengan membuat keputusan berasaskan buku yang dibaca, bukan mengikut pertimbangan akal yang mempunyai budi bicara.
"Disangka tiada lagi saki-baki buaya belaan penjajah British di dalamnya, namun tiba-tiba buaya itu mendongakkan kepalanya," tulis Abdul Hadi.
Ia mendorong beberapa pihak termasuk bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram dilapor membuat gesaan agar prosiding menghina mahkamah digerakkan ke atas Abdul Hadi.
Untuk rekod pada 25 Feb lalu sembilan hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan peruntukan mengenai kesalahan seks luar tabii dalam undang-undang syariah Selangor sebagai tidak sah.
Bagaimanapun keputusan tersebut tidak bermakna mahkamah terbabit membenarkan amalan seks luar tabii sebaliknya berpendapat peruntukan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim berkenaan menjelaskan undang-undang mengenai perkara yang dibahas dalam seksyen 28 enakmen terbabit - yang menyentuh mengenai seks di luar tabii - hanya boleh digubal melalui parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan