"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SOP bercelaru, rakyat kini dalam keresahan

DR ZULQARNAIN LUKMAN

SOP bercelaru, rakyat kini dalam keresahan

1. Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (KANUN) telah melancarkan program Tawaran Nasihat Guaman Percuma Rayuan Kompaun RM10,000 Langgar SOP pada 15/3/2021 setelah menerima rungutan pelbagai lapisan rakyat.

Sepanjang tempoh 2 hari pelancaran program ini KANUN telah menerima puluhan aduan rakyat melibatkan pelbagai kesalahan seperti tidak pakai pelitup muka, tiada penjarakan, berkumpul, kesalahan rentas negeri dan lain-lain. Selain itu, ada juga di kalangan peniaga dan pengusaha perniagaan yang dikenakan kompaun RM50,000 atas alasan yang sama.

2. KANUN mendapati perlaksanaan kompaun RM10,000 ini telah menyebabkan keresahan rakyat yang sudah pun mengalami kemerosotan pendapatan semenjak PKP ini dilaksanakan seperti sudah jatuh ditimpa tangga dan terpalit pula dengan najis ayam.

Tambahan lagi, perlaksanaan ini telah dibuat dengan tergesa-gesa kerana kerajaan hanya meminda Akta 342 melalui ordinan tanpa mengikuti proses demokrasi melalui perbahasan di Parlimen menyebabkan wujud perlaksanaan yang tempang dan tanpa keselarasan antara pihak-pihak berkaitan.

3. KANUN menerima aduan bahawa ada pihak yang telah membuat proses rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) tetapi pihak PKD sendiri tidak tahu apa yang patut dibuat dengan rayuan tersebut. Ada yang diarahkan balik ke rumah, ada yang diarahkan untuk tunggu saman mahkamah dan ada PKD yang hanya sekadar mendengar sahaja rayuan dan disuruh datang semula dalam tempoh 14 hari.

KANUN juga menerima aduan ada Orang Kena Kompaun (OKK) yang dikompaun tanpa ada pertimbangan oleh pihak berkuasa. Ada aduan yang melibatkan orang tua yang pergi membaiki motor di bengkel dan keluar dari bengkel untuk menghirup udara segar juga telah dikompaun kerana membuka pelitup muka untuk tempoh yang sekejap.

Ada juga OKK yang dikompaun kerana dikatakan duduk di meja restoran tanpa penjarakan sedangkan OKK itu telah duduk di kerusi yang betul seperti ditandakan oleh pengusaha restoran dan pengusaha restoran itu pula telah dikenakan kompaun RM50,000.

Apabila ada OKK yang membantah tindakan pihak berkuasa yang bertindak sembrono itu OKK itu pula telah digari. Tindakan sebegini pastinya akan menimbulkan keresahan awam dan ini adalah akibat negara ini sudah tidak berjalan proses demokrasi seperti yang sepatutnya. 

4. KANUN juga hairan dengan pengumuman Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkaitan diskaun kompaun yang disifatkan sebagai bercelaru dan keliru. Jika benar seperti yang dikatakan bahawa kompaun diberikan diskaun maka apakah akan jadi dengan peruntukan undang-undang berkaitan rayuan kepada PKD?

Sepatutnya Menteri Undang-Undang perlu terlebih dahulu memberikan garis panduan yang jelas kepada PKD dan tidak terburu-buru mengumumkan program diskaun kompaun seolah-olah seperti kerajaan sudah tidak sabar-sabar untuk mengutip wang rakyat yang teraniaya.

5. KANUN juga menyatakan Menteri Undang-Undang sepatutnya mewartakan SOP yang sebenar untuk tatacara penjarakan, pemakaian pelitup muka dan penggunaan meja di restoran kerana SOP ini berubah setiap minggu sehingga menyusahkan rakyat dan golongan peniaga untuk memahaminya.

Pewartaan SOP ini akan menjelaskan kedudukan sebenar undang-undang tanpa perlu rakyat ternanti-nanti pengumuman Majlis Keselamatan Negara dan Menteri Pertahanan. Ini juga mendedahkan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini telah dibarisi oleh menteri kabinet yang tidak kompeten untuk mengawal masalah Covid-19.

Justeru, KANUN merafak sembah kepada YDPA untuk menimbangkan penamatan darurat dengan segera kerana sudah jelas bahawa kewujudan darurat ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada rakyat dan kedaulatan undang-undang melalui proses demokrasi berparlimen perlu dikembalikan.

6. Akhir sekali, KANUN mengucapkan jutaan terima kasih kepada peguam sukarelawan yang banyak membantu perlaksanaan program ini. KANUN juga mengalu-alukan mana-mana peguam lain tanpa mengira latar belakang politik yang ingin turut sama membantu rakyat yang teraniaya untuk menghubungi Sdra Hazwan – 013 668 0072 atau Sdra Marwan – 011 312 403 78 untuk penyelarasan gerak kerja.

Tiada ulasan: