ARIF ATAN
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan jika sudah memiliki sokongan majoriti yang selesa.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berpendapat proses ‘jual beli’ wakil rakyat pembangkang sedang berlaku agar mereka menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.
“Tidak perlu mengisytiharkan sokongan kepada Bersatu. Cukup mereka menyatakan diri sebagai Ahli Parlimen Bebas dan menyokong Muhyiddin.
“Apabila dia (Muhyiddin) sudah ada majoriti yang selesa, dia tidak akan bubarkan Parlimen,” katanya menerusi siaran langsung Bicara YB di JOM Channel malam tadi.
Dalam slot bertajuk ‘Menghadapi PRU-15: Wajah Baharu PH?’ itu, Mujahid menyifatkan ‘nyawa’ Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan pintu belakang bergantung pada sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Naib Presiden AMANAH berkenaan berkata, kerajaan PN sudah tiada sokongan majoriti Ahli Parlimen seperti terbukti pada surat yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong berkenaan rayuan supaya Parlimen tidak digantung.
“Ada 115. Itu tandanya dia (Muhyiddin) sudah hilang majoriti. Bahkan, ketika Muhyiddin mengisytiharkan darurat, memang pada masa itu dia sudah hilang sokongan kerana beberapa orang ahli Parlimen Umno menarik sokongan,” tambah Mujahid lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan