"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wakil rakyat yang boleh dijual beli ancam negara

FAZLI RADZI

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyifatkan pemimpin yang boleh dijual beli mendatangkan ancaman kepada negara.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, demokrasi mesti dihormati iaitu yang majoriti menjadi pemerintah manakala minoriti menjadi pembangkang walaupun dalam masa sama mengakui pilihan raya tidak sempurna.

“Apabila wakil rakyat boleh dijual beli di pasaran politik negara, maka tidak mustahil wakil rakyat juga boleh dibeli di peringkat antarabangsa yang ianya merupakan ancaman kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Pertahanan itu berpendapat majoriti rakyat tidak sukakan ahli politik pada masa ini.

“Tahun 2020 yang diharapkan akan berlakunya pencapaian tinggi negara seperti terkandung dalam Wawasan 2020 telah bertukar menjadi tahun kehancuran demokrasi,” katanya.

Beliau dilihat merujuk pada ‘Langkah Sheraton’ yang telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018.

Pengkhianatan didalangi blok Azmin Ali dari PKR dan kumpulan Muhyiddin dari Bersatu kemudiannya menyaksikan ahli politik yang tewas pada PRU-14 akibat rasuah dan salah guna kuasa kembali menduduki kerajaan.

Bersuara dan berdemonstrasi

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau sendiri bertanding pilihan raya sebanyak sembilan kali dengan memenangi empat daripadanya.

“Parti-parti politik yang memperolehi majoriti di Dewan Rakyat akan menjadi pemerintah dan yang kalah menjadi pembangkang.

“Jika tidak puas hati dengan perjalanan pilihan raya, kita bangun menentang dengan bersuara dan berdemonstrasi. Di situlah lahirnya BERSIH,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan rakyat menjadi penentu untuk mengangkat parti-parti tertentu menjadi pemerintah melalui peti undi.

“Inilah sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Tetapi sistem ini telah hancur.

“Wakil-wakil rakyat boleh dijual beli dan bertukar-tukar parti setelah memenangi pilihan raya dengan undi rakyat. Undi rakyat tidak lagi berharga,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Mohamad berkata amalan demokrasi dan konsep Raja Berperlembagaan semuanya telah hancur.

“Oleh itu, kita semua rakyat Malaysia perlu bertindak segera untuk meletakkan kembali asas demokrasi untuk mengembalikan keharmonian hidup rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: