Lawan atas prinsip nilai bukan membabi buta
DR MUJAHID YUSOF RAWA
Semua sedia maklum prinsip ‘kesatuan melahirkan kekuatan’. Tidak salah untuk mengingatkan supaya kukuhkan kita kerana sekian lama dalam politik itulah slogan yang didengungkan. Demikian yang dilakukan oleh beberapa dalam kalangan MP pembangkang dari AMANAH, DAP, MUDA dan WARISAN mengingatkan Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Majlis Presiden PH.
Namun demikian, kita perlu menjangkau lewat slogan dan retorik kepada soalan lebih mendasar, iaitu apakah tujuan utama seruan pengukuhan pembangkang? Kita harus menghayati apakah dia ‘big picture’ yang kita perlu nampak sebalik seruan kukuhkan kita. Jelaskah kita?
Kita sebagai rakan setia dalam AMANAH, Keadilan dan DAP telah membuktikan kesatuan kita. Kita menjayakan usaha mengambil mandat kembali dalam kalangan 220 MP yang diputuskan oleh Majlis Presiden PH dan saya yakin semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan bersungguh-sungguh.
Kenapa semasa usaha kembalikan mandat itu, kita juga mensasarkan ahli-ahli parlimen Umno demi meyakinkan mereka keperluan ambil mandat semula? Apakah kita mengajak mereka sebagai ahli parti kleptokrat ataukah kita mengajak mereka untuk selamatkan prinsip demokrasi? Kita juga meyakinkan Warisan dan Pejuang atas nada dan nafas yang sama walaupun parti tersebut ada isu dengan DSAI.
Kenapa semasa kita bercakap tentang ‘Grand Coalition’ (Kerjasama Besar Politik) kita cuba kesampingkan potensi pihak lain termasuk Umno? Ataukah kita sempitkan yang ‘Grand’ itu kepada pilihan tertentu sahaja? Mana kejelasan kita dalam membawa agenda yang kerananya kita memerlukan Kerjasama Besar-besaran Politik?
Kita bukan hendak menjatuhkan PN tetapi kita hendak menamatkan politik jelik, kotor dan rasuah jijik yang diamalkan oleh PN untuk kekalkan pengkhiantan mereka. Kita melawan atas prinsip nilai bukan membabi-buta! Kejelasan inilah yang merupakan prinsip yang tidak boleh dikompromi dalam membina kerjasama kita dengan semua pihak termasuk Umno.
Kita bertemu dengan agenda besar bukan agenda peribadi. Begitulah juga kita mendekati Bersatu diambang PRU ke-14. Kini jelas siapa yang membelakangkan agenda besar kita.
Dengan mengisyaratkan fokus kukuhkan pembangkang kita telah membuat percanggahan kepada kenyataan Grand Coalition kita yang awal. Bukankah dengan berjumpa semua pihak itu mampu mengkukuhkan kita dan akan menjayakan Grand Coalition kita? Kenapa kita disekat dengan istilah parti kleptokrasi dan kluster mahkamah? Bukankah perkara ini telah ditegaskan beberapa kali dalam kenyataan bersama Majlis Presiden PH bahawa tiada kompromi kepada kes mahkamah yang sedang berjalan dan perlu menerima asas reformasi yang kita aspirasikan bersama.
Sebab itu saya bertanya apa tujuan semua ini? Jika kita meletakkan pembangkang lawan PN kita tidak akan meramaikan penyokong, tetapi jika kita letakkan landasan ‘ayuh bersama tamatkan kejelikan politik dan pulihkan demokrasi’ maka pasti ada dalam kalangan parti politik lain yang akan bersama kita termasuk Umno. Itulah semangat Grand Coalition.
Untuk rekod, sepanjang sejarah BA, PR dan PH tidak ada kerjasama politik yang termetrai melainkan dengan syarat dan komitmen agenda reform yang menjadi teras perjanjian. Pas, Bersatu tinggalkan kita kerana tidak ada iltizam dengan semangat reform dan tidak istiqamah. AMANAH, DAP dan Keadilan solid kerana meyakini agenda reform. Kenapa kita isyaratkan tidak mahu kerjasama dengan parti kleptokrasi? Apakah kita lebih lemah dari kleptokrasi hari ini? Bukankah kita telah membuktikan agenda kita lebih besar dari agenda kleptokrasi?
Kita harus jujur pada cita-cita kita, sebesar kejayaan kita adalah membangkitkan dhomir hati manusia kepada menolak pengkhianatan, kefasadan politik dan membangkitkan dhomir menyokong sikap Adil, Ihsan dan Islah.
Semoga kebangkitan dhomir dalam hati-hati orang Umno dan rakan-rakan lain akan mengukuhkan semua kita demi kita pulihkan demokrasi dan sembuhkan negara dari para perosak negara dan pencabul prinsip demokrasi.
Kukuhkan kejelasan kita dahulu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan