MALAYSIA DATELINE
Kempen TamatDarurat yang dilancarkan dengan tujuan untuk merayu Yang di-Pertuan Agong supaya menamatkan pengisytiharaan darurat bukan dikatagorikan dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 memerangi berita palsu.
Pengerusi Biro Undang-Undang Parti AMANAH (KANUN) Dr Zulqarnain Lukman berkata, kempen TamatDarurat dilancarkan dengan alasan darurat menyusahkan rakyat, mengekang rakyat untuk bersuara dan parlimen tidak boleh bersidang adalah berita benar.
“Kalau kita kempen TamatDarurat menggunakan berita yang benar maka kita tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi kalau kita kempen tamat darurat menggunakan berita tidak benar maka ia menjadi satu kesalahan,” katanya.
Jelasnya, rakyat berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan Perkara 10 (1) yang memberikan kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat.
“Apabila diwujudkan Ordinan Darurat jadi kita kena tengok Ordinan Darurat menyekat atau tidak kebebasan rakyat.
“Setakat yang kita tengok Ordinan Darurat tidak kata Perkara 10 (1) terhenti selama mana darurat ini dibuat maka rakyat boleh bersuara,” kata beliau.
Beliau turut memberi contoh antara berita tidak benar yang termasuk dalam penguatkuasaan Ordinan Darurat (No 2) iaitu minum air suma boleh cegah COVID-19.
“Minum air suam boleh cegah COVID-19 itu berita tidak benar sebab dari segi saintifik tidak dibuktikan, jadi tidak boleh kita hendak sebar perkara itu.
“Begitu juga, minum air kelapa boleh sembuhkan COVID-19, jadi ia berita tidak benar boleh didakwa di mahkamah dan tidak pasal-pasal kita boleh dipenjara,” kata beliau dalam Wacana Politik Kelantan yang membawakan satu segmen bual bicara berkenaan #TamatDarurat.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai menyemak dahulu kesahihan berita berkaitan darurat dan COVID-19 sebelum menyebarnya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang diwartakan bukan untuk menyekat kebebasan media dan bersuara mana-mana individu seperti yang di dakwa beberapa pihak.
Penguatkuasaan ordinan itu sebagai satu usaha memerangi berita palsu berkaitan isu Covid-19 dan perintah darurat yang telah berkuatkuasa.
Ordinan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali, manakala bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan