"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Saya rela ditangkap di hadapan isteri saya’

AMNI JAGAT 

“Saya rela ditangkap pihak berkuasa di hadapan isteri saya sekiranya perjuangan saya untuk rakyat akan melalui cabaran itu.”

Begitulah luahan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam ucapan beliau ketika program Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Parlimen Pulai 2021 di Kampung Pasir Johor.

Dalam ucapan tersebut, beliau menyelitkan peranan wanita yang tiada gantinya dalam kehidupan beliau sebagai seorang pemimpin di negara ini.

Selain isteri, beliau turut mengiktiraf peranan ibunya yang sentiasa dari kecil hingga hari ini memberi dorongan dan semangat dalam beliau meneruskan perjuangan.

“Peranan wanita amat penting dan apa yang kita perlukan sebagai seorang lelaki adalah tanggungjawab terhadap golongan tersebut.

“Wanita adalah inspirasi saya dan semangat yang menguatkan saya untuk terus berjuang di negara ini.

“Isteri saya yang selama ini mengenal perit dan jerih berkongsi hidup dengan saya pastinya hari ini adalah tulang belakang saya sebagai pemimpin,” katanya dalam program tersebut.

Beliau turut mengingatkan agar usah memperlakukan wanita seperti barangan hiasan dan pakaian yang boleh dipakai buang dalam adat berumah tangga.

Wanita juga dikatakan oleh Salahuddin adalah sebagai pelengkap kehidupan di dunia ini serta pengiktirafan juga perlu diberikan kepada mereka.

“Kesabaran dan kekuatan wanita usah kita persoalkan lagi ternyata mereka mampu membimbing individu seperti pemimpin terhebat dunia untuk berjaya.

“Tidak ada seorang pun manusia hebat di dunia ini yang tidak lahir dari perut seorang wanita. Ini cukup menyatakan gambaran bahawa wanita itu adalah ciptaan yang hebat,” katanya lagi.

Program tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Pulai, Mohd Azam Harun dan beberapa Ahli Jawatan Kuasa lain serta jentera dari Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pulai (PKRPP).

Tiada ulasan: