Prof Dr Mohammad Agus Yusoff
Sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Mac 2020, PH sering meratib kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang adalah kerajaan tebuk atap dan kerajaan pintu belakang.
Setelah setahun berlalu, cukuplah PH meratib perkara yang sama.
PH pun tidak kuat dan tidak bersatu lagi seperti mana semasa menghadapi PRU-14. Ini dapat dilihat dari kegagalan PH menyekat usaha kerajaan PN menukar speaker Dewan Rakyat dan juga Bajet 2021.
Jika pun speaker dewan membenarkan ‘undi tidak percaya’ diusulkan di dewan sekarang, belum tentu PH dan pakatannya boleh memenangi usul tersebut.
Jadi, cukuplah dengan ratib ini. Rakyat sudah bosan dan rakyat nampak macam pemimpin PH ini gila kuasa atau menjadi nanar setelah tidak berkuasa.
Sebaliknya, ambillah kesempatan dengan pelbagai isu sekarang untuk memperjuangkan sesuatu yang bermakna bagi rakyat, sekali gus bersedia menghadapi PRU-15.
Isu apa yang perlu PH perjuangkan?
Isunya banyak. Tentu sekali yang utama ialah ekonomi, pelaburan asing, peluang pekerjaan, bebanan kos hidup dan Covid-19. Biarpun kerajaan PN menafikan Malaysia kehilangan pelaburan asing ke negara-negara jiran, namun Laporan UNCTAD menunjukkan pelaburan asing ke Malaysia jatuh sebanyak 68 peratus kepada hanya US$2.5 bilion pada tahun 2020, menjadikan Malaysia negara terburuk prestasinya di rantau Asia Tenggara (AT).
Negara-negara jiran kita seperti Singapura, Vietnam dan Indonesia terus mencatat pelaburan yang kukuh. Pada tahun 2019, ketiga-tiga negara tersebut menerima lebih daripada 80 peratus aliran masuk pelaburan langsung asing ke rantau ini.
Pada tahun 2020, Singapura mencatat aliran masuk pelaburan langsung asing sebanyak AS$58 bilion iaitu 23.2 kali ganda lebih banyak daripada Malaysia.
Bukan hanya itu. Biarpun kerajaan PN menyatakan keadaan ekonomi negara dan pelaburan Malaysia adalah baik, realitinya adalah banyak syarikat yang menutup kilangnya.
Misalnya, pada 14 Januari 2020, Nikkei Asia melaporkan Toyota dan Honda menutup kilang di Malaysia. Pada November 2020, syarikat IT Jerman T-Systems telah menjual perniagaannya di Malaysia menyebabkan 800 pekerja kehilangan pekerjaan.
Pada 3 Disember 2020, FMT melaporkan Sony akan menutup kilangnya di Perai selepas 36 tahun di negara ini menjejaskan 3,400 pekerja. Pada 23 Mac 2021, FMT melaporkan IBM akan menutup pusat penyampaian global di Cyberjaya pada 31 Mei ini menjejaskan 1,000 orang pekerja.
Begitu juga dengan kenaikan harga barang yang semakin ketara sekarang. Laporan CPI Jabatan Statistik Malaysia mencatatkan 326 jenis barang naik harga, termasuk harga makanan dan minuman. Ini memang betulpun. Tanya sahaja suri rumah, berapa kenaikan harga sayur, harga minyak masak, telur dan lainnya? Jawapan mereka tentunya sama: harga barang semakin naik dan kos hidup semakin tinggi.
Dari segi pekerjaan pula, PH perlu perjuangkan peluang pekerjaan untuk anak muda. Usah dibincangkan peluang pekerjaan untuk sektor lain, peluang pekerjaan untuk doktor siswazah pun sukar sekarang. Dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang memerlukan bilangan doktor yang ramai, mereka yang baharu selesai menjalani ‘houseman’ hanya dilantik secara kontrak sahaja.
Mengapa sampai begitu sekali? Adakah disebabkan oleh bilangan doktor yang terlalu ramai atau bilangan hospital yang sedikit atau keupayaan kewangan kerajaan yang terbatas menyebabkan mereka ini tidak dilantik secara tetap?
Hal sebegini harus menjadi perjuangan utama PH bukan sahaja untuk menarik sokongan rakyat, tetapi memperjuangkan kebajikan rakyat.
Akhirnya, perlu bagi pemimpin PH memperjuangkan SOP Covid-19 dan pelaksanaannya. Rakyat terkeliru dengan denda RM10,000 dan bagi industri pula RM50,000.
Apakah denda sebanyak ini adil kerana kesannya besar kepada rakyat? Jika ini adalah kesalahan jenayah, maka ‘pesalah’ ini hilang masa depan. Kenapa buat undang- undang dahulu dan baharu kemudian mahu perincikan pelaksanaannnya?
Perkara di ataslah yang perlu PH perjuangkan dari terus merintih tentang kuasa yang hilang dan meratib isu kerajaan tebuk atap atau kerajaan pintu belakang.
Tebuk atap atau pintu belakang, yang jelasnya satu: kerajaan PN adalah kerajaan yang sah biarpun dengan majoriti yang kecil.
Menutup kata, saya mempunyai satu harapan besar kepada pemimpin politik negara kita. Saya mahu pemimpin kita memberi jiwa kepada politik dan memanusiakan rakyat, tanpa mengira apapun parti kita. Bertindak adillah dalam memerintah negara. Layani rakyat dengan saksama. Hapuskanlah tindakan dua darjat dalam sebarang keputusan.
Yakinlah dengan cara ini, kita boleh menjauhi kebencian dalam politik.
Saya akhiri dengan kata-kata Martin Luther King, Jr. seperti berikut: “We need leaders not in love with money but in love with justice. Not in love with publicity but in love with humanity.”
PROF DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF ialah seorang penganalisis politik dan pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan