SITI NUR ZAWANI MISCON
Pemimpin Umno, Mohd Rafi Awang Kechik menganggap pemimpin parti itu yang masih mempercayai Bersatu, sebagai bodoh dan tidak sedar diri.
Beliau berkata, pemecatan Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim kerana menyokong Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak, menunjukkan isyarat jelas bahawa Umno hanyalah kuda tunggangan Bersatu sahaja.
“Signal (isyarat) pecat ini cukup jelas. Umno hanya kuda tunggangan Bersatu sahaja.
“Itu pun masih ada pemimpin Umno bongok dan tak sedar diri. Masih tak faham dengan taktikal Bersatu,” kata Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Wangsa Maju itu dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Semalam, Bersatu dilaporkan telah mengambil keputusan untuk memecat Hasnul dan ianya disahkan oleh Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Pemecatan itu difahamkan berpunca daripada tindakannya yang menyokong Saarani sebagai MB Perak ketika sidang DUN Disember tahun lalu, sekali gus mengambil alih kedudukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang gagal mendapatkan sokongan undi percaya.
Menurut Zainol Fadzi, perkara itu sudah jelas berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam laporan media sebelum ini.
Bagaimanapun, Hasnul memaklumkan bahawa beliau tidak menerima sebarang surat mengenai perkara pemecatan tersebut dan hanya mengetahui perkara itu daripada laporan media.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan