"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMK Terengganu pertikai Majlis Pimpinan PKR tidak bela Yuslaini

SITI NUR ZAWANI MISCON

Timbalan Ketua AMK Terengganu, Wan Muhamad Haikal Wan Ghazali kesal dengan kenyataan Majlis Pimpinan Negeri PKR Terengganu (MPNT) yang tidak membela atau memberikan sokongan moral kepada Srikandi parti itu, Yuslaini Azmi.

Beliau berkata, Majlis Pimpinan PKR negeri juga cuba memberi persepsi buruk kepada Yuslaini dengan mengatakan bahawa Srikandi Keadilan itu sedang disiasat di bawah Akta Hasutan di mana dakwaan itu katanya adalah tidak benar.

Malah katanya, sikap yang ditonjolkan Majlis Pimpinan negeri seolah-olah mahu mencuci tangan ketika pimpinan sayap parti sendiri ditimpa masalah.

“Sungguh berbeza sikap MPNT jika dibandingkan dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengerusi AMANAH Pulau Pinang dimana beliau telah memberikan sokongan kepada Faiz Fadzil.

“Kami juga kesal dengan tindakan MPNT yang memilih untuk mempertikaikan jawatan saudari Yuslaini pada waktu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Haikal berkata, salah faham berkaitan jawatan Srikandi Keadilan di bawah Wanita Keadilan dan Biro Wanita Muda di bawah AMK telah diselesaikan dengan Kaukus Srikandi Keadilan.

Justeru tegasnya, tiada keperluan untuk pihak majlis pimpinan negeri membangkitkan isu tersebut ketika sayap wanitanya sedang dilanda ujian besar.

Pada semalam, Majlis Pimpinan PKR Terengganu mendakwa jawatan yang digunakan Yuslaini dalam beberapa program kononnya sebagai Ketua Wanita Srikandi negeri, tiada dalam rekod lantikan mereka. 

PKR memaklumkan, hasil semakan dari Daftar Pimpinan Negeri PKR Terengganu 2018-2021 yang dikemaskini sehingga 15 Januari tahun ini mendapati, Yuslaini tidak pernah dilantik sebagai penyandang jawatan Ketua Srikandi Negeri atau Ketua Biro Wanita Muda AMK Negeri, sebagaimana yang didakwa.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Yuslaini telah ditahan oleh pihak PDRM di bawah Akta Hasutan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu Muhamad Haikal menegaskan, salinan laporan polis berhubung dakwaan mencabul, dipercayai telah disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mempolitikkan isu tersebut.

Tiada ulasan: