"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pembida harta Sajat hilangkan diri?

Raja Noraina Raja Rahim

rnoraina@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pembida yang berjaya dalam lelongan awam harta Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman dengan bidaan tertinggi RM132,000, dikatakan menghilangkan diri apabila gagal dihubungi hari ini.

Difahamkan, lelaki itu tidak dapat dihubungi peguam plaintif selepas keluar untuk membuat bank draf sebaik selesai proses bidaan di kediaman usahawan kosmetik itu yang lebih dikenali Nur Sajat di Kota Damansara, di sini tengah hari tadi.

Peguam Zeti Zukifili dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors berkata, lelaki itu memberi alasan untuk ke bank bagi menyelesaikan urusan bayaran bidaan dan berjanji kembali semula sebaik selesai urusannya.

"Saya berhubung dengannya melalui panggilan dan aplikasi WhatsApp beberapa kali, namun dia memberi alasan urusan di bank belum selesai.

"Selepas menunggu sehingga jam 4.10 petang, dia tidak memunculkan diri, malah nombor telefonnya juga gagal dihubungi," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Zeti berkata, pihaknya memberi masa kepada pembida untuk hadir membuat bayaran berkenaan sehingga jam 3.30 petang dan dilanjutkan ke 4.10 petang, namun lelaki itu masih tidak dapat dihubungi menyebabkan bidaannya dikira terbatal.

Selain itu, katanya, deposit berjumlah RM5,000 yang dibayar pembida terbabit juga tidak dikembalikan.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan satu tarikh baharu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada minggu hadapan, untuk proses lelongan semula.

Terdahulu, pembida terbabit berjaya mendapatkan 40 barangan milik Nur Sajat pada harga RM132,000 dalam sesi bidaan yang diadakan di kediaman usahawan itu pada 11 pagi hari ini.

Antara barangan yang disita untuk lelongan itu adalah perkakas dapur, ruang tamu dan set bilik tidur di tingkat atas banglo dua tingkat berkenaan.

Difahamkan, proses lelongan disertai oleh lapan pembida sebelum berkurangan kepada tiga pembida dan bidaan dibuat sebanyak enam kali hingga harga bidaan berakhir RM132,000.

Tiada ulasan: