"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Majlis kahwin selebriti langgar SOP: Menteri Agama kena ‘sekolah’ dengan rakyat

ARIF ATAN

Majlis kahwin selebriti langgar SOP: Menteri Agama kena ‘sekolah’ dengan rakyat

Orang ramai dilihat membanjiri ruangan komentar di laman rasmi Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri susulan menghadiri majlis perkahwinan selebriti Neelofa yang didakwa melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Rata-rata warga maya menyelar Zulkifli yang dianggap bersekongkol dengan layanan dua darjat berhubung penguatkuasaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sejak semalam, rakyat berang apabila majlis perkahwinan pengacara dan usahawan itu gagal mematuhi SOP ditetapkan dan duduk berhimpit bercanggah sama sekali dengan norma baharu di masjid yang diwajibkan menjaga jarak.

Sehubungan itu, tidak kurang netizen yang mendesak Zulkifli juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan tersebut meletakkan jawatan sebagai menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bahkan, ada yang berpendapat Zulkifli sebagai bekas pesakit Covid-19 yang pulih pada 14 Oktober tahun lalu itu tidak belajar daripada pengalaman lalu akibat gagal mematuhi SOP.

“Dulu penyebab Kluster Kasturi, ingat dah insaf (tapi) makin menjadi-jadi. Pakai lebai bukan lesen untuk jadi suci.

“Letak jawatan menteri agamalah. Kamu tak layak pun. Baik jadi mufti semula. Boleh juga jadi sumber rujukan.

“Ini sekongkol dengan kerajaan pintu belakang. Lepas itu terlibat sekali dengan undang-undang double standard,” kata Akram Yusof.

Sementara itu, pengguna Facebook, Muhamad Hafiz juga berpendapat Zulkifli wajar meletak jawatan kerana tidak menjadi contoh teladan yang baik.

“Letak jawatan saja Dr Zul. Anda tidak layak memegang portfolio Menteri Agama. Di masjid untuk solat dengan SOP safnya berjarak tapi di sini berhimpit.

“Melanggar SOP yang jikalau rakyat melanggarnya habis disaman,” katanya.

Awal bulan lalu, seramai 19 individu termasuk pasangan pengantin di Taman Nilam, Langkawi ditahan polis dan dikenakan kompaun kerana dikatakan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 apabila merakam gambar kenangan secara berkumpulan.

Dalam masa sama, terdapat juga komentar yang secara sinis menurunkan kembali petikan kenyataan Zulkifli berhubung saf solat berjemaah di masjid.

“Sekali lagi saya (Zulkifli) tegaskan hak menjarakkan saf bukan bidang kuasa saya. Ianya tertakluk pada majlis agama negeri masing-masing,” dipetik kembali oleh Muhamad Asraf.

Reaksi sama juga dilontarkan Muhd Reduan yang menulis, “Mantap Tok. Selepas ini, sudah boleh rapatkan saf.”

Sejak lebih setahun pandemik Covid-19 melanda, ahli jemaah di masjid diwajibkan mematuhi beberapa SOP termasuk norma baharu susunan saf solat dengan penjarakan fizikal satu meter.

Zulkifli berkopiah merah hadir majlis perkahwinan Neelofa di Hotel Grand Hyatt KL semalam.

Tiada ulasan: