Alyaa Alhadjri
Terdapat dua aliran fahaman berbeza sepanjang perhimpunan agung Umno yang berlangsung pada hujung minggu lalu.
Pertama, mereka yang menggesa parti itu supaya tidak lagi menjadi sekutu kepada Bersatu dan menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional bermula 1 Ogos.
Kedua, mereka yang percaya penolakan terhadap Bersatu hanya akan menimbulkan 'malapetaka' kepada Umno pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Beberapa penganalisis yang bercakap kepada Malaysiakini bagaimanapun percaya senario kedua itu masih boleh diperdebatkan.
Salah seorang pemimpin yang menyokong senario kedua itu adalah ahli majlis tertinggi Umno, Zahidi Zainul Abidin yang mengatakan parti itu perlu menyertai PRU bersama Bersatu dan PAS.
Kata Zahidi, dia percaya Umno akan berada pada kedudukan dominan apabila kerajaan berikutnya dibentuk.
Sebaliknya, jika parti-parti itu bergerak sendirian dalam PRU, Umno mungkin menjadi pembangkang tanpa mempunyai sekutu.
Penganalisis politik bagaimanapun menangkis pendapat Zahidi - dengan mengatakan ruang untuk Umno membentuk gabungan dengan rakan baru atau lama - hanya akan berlaku selepas pilihan raya.
Pengarah eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, Umno sendiri yakin dapat mempertahankan semua 55 kerusi yang dimenanginya pada PRU14, termasuk yang 'dicuri' oleh ahli-ahli parlimen yang akhirnya melompat kepada Bersatu.
Selain itu, dia berkata Umno boleh meninjau sekurang-kurangnya 16 kerusi majoriti Melayu yang lain untuk sasaran keseluruhan sekurang-kurangnya 70 ahli parlimen di parlimen, yang ada antara kerusi berkenaan kini disandang oleh PAS, Bersatu atau komponen dalam Pakatan Harapan (PH) seperti PKR dan Amanah.
"Dan jika PAS memilih bersama Bersatu, Umno boleh mengambil kembali beberapa kerusi yang jatuh ekoran bertembung tiga penjuru dengan PAS, contoh di Terengganu dan mungkin Kedah, Kelantan.
"Kemudian 13 kerusi dimenangi Bersatu, Umno cukup yakin mereka akan boleh mengambil semula kerusi yang dahulunya kerusi Umno, termasuk Langkawi. Selain Jerlun yang mungkin masih ada pengaruh Tun Mahathir (Mohamad) dan Pagoh dengan faktor personaliti Tan Sri Muhyiddin (Yassin), yang lain-lain mereka yakin akan dapat merampas kembali," katanya.
Bagi kerusi majoriti Melayu yang dikuasai oleh parti-parti PH, Hisomuddin berkata kerusi parlimen Kuala Selangor dan Kulim Bandar Baru boleh menjadi sasaran Umno, yang merekodkan kemenangan bersilih ganti antara BN dan PH dalam beberapa PRU lalu.
PH mengalahkan calon Umno di dua kerusi itu pada PRU14, manakala Umno pada PRU13 menewaskan calon Pakatan Rakyat yang memenangi kerusi berkenaan pada PRU sebelumnya.
"Jadi, sasaran 70 kerusi itu bagi Umno signifikan untuk menjadikan mereka parti tunggal dengan jumlah kerusi terbesar. Setelah itu mereka akan membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti yang menang untuk membentuk kerajaan dengan mengikut syarat Umno," kata Hisomuddin.
Tidak seperti pilihan raya umum lalu, Hisomuddin berkata akan ada banyak situasi tidak menentu, tanpa adanya gabungan rasmi sebelum hari mengundi.
"Keadaan ini akan mewujudkan situasi yang tidak menentu kerana lebih kepada kekuatan parti mana yang mampu memenangi jumlah kerusi dan juga melibatkan perundingan selepas menang," katanya menambah situasi itu mirip di Indonesia apabila parti-parti lawan dibawa berbincang selepas keputusan PRU diumumkan.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi, berkata Umno dalam usahanya mencapai dominasi telah menolak rundingan kerusi sebelum pilihan raya, terutama dengan Bersatu.
"Ini merupakan strategi, daripada berebut kerusi sebelum bertanding, lebih baik buka kepada semua, dan kemudian nanti samanada nak kekalkan blok PN ataupun boleh bina pakatan politik yang baru.
"Antara 70 dan 75 kerusi adalah jumlah maksimum yang mungkin dimenangi oleh Umno untuk muncul sebagai parti paling dominan," katanya.
Awang Azman berkata, usaha Umno bergerak sendirian di kerusi majoriti Melayu juga boleh memberi manfaat kepada pengundi yang bebas untuk menyokong calon pilihan mereka.
Ini tidak seperti situasi melibatkan gabungan parti di mana pengundi di kawasan yang dikuasai oleh penyokong satu-satu parti harus memilih parti bersekutu yang diberikan kerusi berkenaan.
Umno melalui Perhimpunan Agung tahunannya semalam mencapai keputusan untuk memberikan mandat kepada kepimpinannya bagi menentukan bilakah parti itu akan menarik sokongan daripada PN, berikutan keputusan Majlis Tertinggi parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pada Januari lalu dilaporkan berkata bahawa Umno mensasarkan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 96 daripada 222 kerusi parlimen.
Angka itu lebih rendah daripada 121 kerusi yang dipertandingkan pada PRU14, di mana Umno menang 55 kerusi.
Pada PRU14, Umno menghadapi pertandingan pelbagai penjuru dengan calon Bersatu dan PAS di 47 kerusi parlimen, termasuk di Ketereh dan Titiwangsa.
Bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa menewaskan Radzi Jidin di Ketereh, manakala calon Bersatu, Rina Harun menewaskan calon Umno, Johari Abdul Ghani di Titiwangsa.
Bersatu yang merupakan komponen PH ketika itu meletakkan 52 calon parlimen, tetapi hanya memenangi 13 kerusi. Kira-kira 31 ahli parlimennya ketika ini termasuk yang melompat parti selepas PRU14 dan sekumpulan bekas ahli parlimen PKR yang mencetuskan Langkah Sheraton tahun lalu, yang menyaksikan kerajaan PH tumbang.
Umno memiliki kekuatan organisasi
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Prof Azmi Hassan, bagaimanapun berkata kekuatan Umno sebagai sebuah organisasi tetap memiliki kelebihan bagi merebut kembali kerusi yang hilang akibat tindakan melompat parti.
"Jika dilihat kerusi Umno yang dibawa ‘lari’ Bersatu, peluang untuk Umno menang adalah besar sekali. Dan sama juga peluang calon Bersatu untuk merampas kerusi-kerusi ini adalah amat sukar," katanya yang turut mengaitkan nama pemimpin Bersatu, Mustapa Mohamed yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi sebagai contoh.
Mustapa merupakan anggota parlimen Jeli selama lima penggal dan Adun Air Lanas yang terletak di bawah parlimen berkenaan.
Dia menjadi ahli parlimen Bebas berikutan kekalahan BN pada PRU14 sebelum membuat keputusan menyertai Bersatu.
"Tok Pa adalah sinonim dengan Jeli, tapi perlu dikuatkan oleh organisasi Umno. Jadi bagi saya, Tok Pa, Hamzah Zainuddin dan lain-lain, adalah sukar (untuk menang) sekiranya bertanding kerusi yang sama atas tiket Bersatu dan PN kerana organisasi akar umbi Umno dan Bersatu bagi saya amat jauh bezanya," kata Azmi.
Perbincangan rasmi di antara parti-parti di parlimen untuk membentuk kerajaan pasca-pilihan raya adalah biasa di kebanyakan negara demokrasi, termasuk negara-negara yang memiliki sistem pilihan raya berbeza.
Bagaimanapun di Malaysia pertembungan dalam pilihan raya sering tertumpu antara dua gabungan utama.
Sebarang perubahan kerajaan di peringkat persekutuan atau negeri kebiasaannya dipacu oleh tindakan ahli-ahli parlimen yang melompat parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan