FMT Reporters
SHAH ALAM: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang sedang sakit, menafikan dia bersembunyi daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak berkuasa.
Menerusi video selama dua minit 21 saat yang dimuat naik ke media sosial itu, Sajat menafikan dirinya menyorok atau melarikan diri daripada pihak berkuasa.
“Masa bila kita jadi pelarian? Buat apa nak jadi pelarian?
“Masa bila saya menyorok? Ada ke awak nampak saya menyorok?” katanya menerusi video itu yang dilaporkan Sinar Harian.
Sajat mendakwa dia mendiamkan diri kerana tidak begitu sihat.
“Saya bukan menyorok, tapi hanya mendiamkan diri dari Instagram,” katanya ketika menjawab soalan netizen tanpa mendedahkan wajahnya dalam video itu.
Pada 23 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat kerana gagal hadir dalam sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.
Pada 6 Jan lalu, Sajat dituduh berpakaian seperti wanita dalam satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, 7.30 malam, 23 Feb 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan