FMT Reporters
PUTRAJAYA: Perdana Menteri dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan mengejut dengan beberapa menteri dari Umno, sehari selepas parti itu memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PPBM.
Pertemuan itu diadakan di Bangunan Perdana Putra di sini.
Menurut sumber, pertemuan lebih sejam itu tidak membabitkan timbalan menteri.
“Saya difahamkan pertemuan berlangsung lebih sejam mulai 5.30 petang hingga 6.45 petang itu diadakan secara mengejut bagi membincangkan keputusan Umno untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional dan kerjasama dengan PPBM.
“Namun, saya tidak boleh menjelaskan butiran terperinci mengenainya kerana tiada dalam pertemuan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Antara mereka yang dilihat keluar dari kompleks Jabatan Perdana Menteri petang tadi ialah Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob; Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa; Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba; Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad dan Menteri Luar, Hishammuddin Hussein.
Turut kelihatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada menteri Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz mengesahkan Annuar menghadiri pertemuan itu, tetapi tidak jelas mengenai butirannya.
“Saya difahamkan Annuar menghadiri mesyuarat berkenaan berikutan keputusan Umno semalam, namun sehingga kini beliau belum memaklumkan butiran terperinci mengenainya.”
Mesyuarat menteri itu dengan perdana menteri itu menyusul sehari selepas Umno, perhimpunan agung di Kuala Lumpur, memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan PPBM dan menghadapi pilihan raya umum ke-15 bersendirian.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, usul memutuskan hubungan politik dengan PPBM itu diluluskan perwakilan PAU2020.
Zahid berkata, Umno tidak akan mendukung PN kerana PPBM berniat menghapus dan menggantikan Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan