"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kini tembelang Pas makin menyerlah

Menyanggah dakwaan Pas parti pendamai dalam krisis Bersatu-Umno

ZAKARIA MUSA

Bagai diduga sejak awal, tiga parti Melayu iaitu Bersatu, Umno dan Pas – yang berkomplot merampas mandat rakyat pada hujung Februari 2020 – pasti meniti liku-liku sukar dalam kerjasama politik mereka.

Konflik dan pertembungan bukan hanya di antara Umno dan Bersatu yang didorong rasa tidak puas hati atas perkongsian kuasa yang terjalin secara tergesa-gesa, tetapi juga membabitkan Pas yang tersepit di tengah-tengah.

Atas nama perpaduan Melayu-Islam atau kesatuan ummah yang menjadi slogan murahan, kini tembelang Pas makin menyerlah. Sebenarnya segala gerak politiknya hanya bermotifkan keuntungan duniawi atau pertimbangan siasah sempit semata-mata.

Hujah yang dikemukakan hanya dalih untuk mengaburi pandangan penyokong tegarnya sekali gus “mengepung” ahli-ahlinya agar terus setia sebagai “walaun”.

Banyak sekali tuntutan, desakan dan rungutan Pas semasa era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dahulu terpaksa ditelan tanpa mampu melakukan apa-apa perubahan pun. Dulu kepentingan Melayu-Islam dianggap tergugat dan terancam.

DAP yang dilabel sebagai musuh bangsa dan agama dijadikan kambing hitam. Kononnya DAP menguasai Putrajaya sepanjang 22 bulan itu telah menyebabkan maruah Melayu-Islam tergadai.

Kini, terbentuknya kerajaan pintu belakang yang didominasi Melayu-Islam dengan Pas bersama menjadi anggota pentadbirannya, ramai pihak kecewa kerana tiada “perubahan Islami” yang ditawarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, tiga parti yang bersekutu dalam kerajaan tanpa mandat rakyat terus bertelingkah dan bersengketa.

Kerajaan minoriti itu pula lebih ghairah membicarakan soal survival kuasa dan usaha menonjolkan diri sendiri. Mereka mahu menjadi dominan atau “abang besar”. Bagaikan enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Titik pertikaian mereka bukannya atas kepentingan rakyat di zaman sukar ini tetapi sekitar bagaimana setiap parti mahu menguasai pemerintahan secara mutlak, mengulangi fungsi dan posisi Umno pada zaman Barisan Nasional dahulu.

Persaingan Umno-Bersatu ibarat saling membunuh

Dapat difahami persaingan Umno-Bersatu memposisikan kedudukan masing-masing dalam kancah “pergelutan” itu. Kedua-duanya saling “membunuh” bagi melumpuhkan secara total seteru terdekat dalam usaha menduduki podium utama parti Melayu paling berpengaruh.

Sejak hari pertama kerajaan PN yang didirikan atas pengkhianatan dan pembelotan, Bersatu-Umno sibuk mencari peluang terbaik untuk menikam dari belakang.

Sikap politik Bersatu sudah lama terbongkar dalam Langkah Sheraton. Demi memastikan kerusi perdana menteri kekal dikuasai Bersatu, kumpulan itu terus menghalang kemaraan Anwar Ibrahim.

Walaupun telah termetrai dalam perjanjian bersama pada Januari 2018 di Shah Alam, Muhyiddin Yassin sanggup mengkhianati mentornya sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Bersatu secara jelas memilih jalan pintas untuk muncul sebagai parti Melayu terbesar meskipun risikonya juga cukup berbahaya. Ia mungkin satu bentuk “bunuh diri” yang tersembunyi!

Lebih musykil adalah fungsi Pas yang sentiasa mendakwa berperanan sebagai “pendamai” dan pelopor kepada perpaduan ummah. Apakah rekod Pas menunjukkan ia benar-benar berjiwa besar, bersikap terbuka dan “menyejukkan” ketika rakan-rakan bertelagah?

Pas usah bersikap hipokrit atau talam dua muka. Ketika berdepan konflik dalaman Pas sekitar 2015, bermula setahun sebelum itu di muktamar tahunan di Batu Pahat, umum boleh menilai bagaimana presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang menangani “ribut dalam cawan”.

Apa lagi istilah jelik yang tidak dilemparkan kepada kelompok yang disifatkan “jebon, munafik haraki, khadam DAP, menolak ulama, Anwarinas”, dan pelbagai panggilan buruk lag sesama pimpinan dalam satu parti, hanya kerana berbeda pendapat dan pandangan, mungkin pendekatan lebih rencam, tiada lagi tolak-ansur atau kompromi.

Akhirnya mereka setandan disingkirkan melalui “chai” yang diedarkan, selepas kempen liar secara agresif dilancarkan. Atas nama pembersihan dan pemutihan parti, hasrat sebenar lebih kepada memudahkan laluan Pas untuk berkerjasama dengan Umno.

Hadi Awang juga mengakui Pas terlibat daripada awal lagi, mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan PH pilihan rakyat.

Dalam keuzurannya, Hadi terbabit secara proaktif mengatur langkah mendirikan kerajaan tebuk atap sehingga parti yang menang pada PRU14 bertukar menjadi pembangkang, manakala parti yang kalah pula di posisi kerajaan.

Perdana menteri, Muhyiddin Yassin mengakui dalam mesyuarat Bersatu bahawa kerajaannya tertegak atas “scheme of things”, yang difaktorkan oleh sogokan dan tawaran (rasuah).

Malah, baru-baru ini, tanpa segan-silu Hadi juga mengakui Pas memilih untuk bersama kerajaan pintu belakang adalah untuk menyertai PRU15 sebagai anggota kerajaan dan bukannya atas status parti pembangkang.

Memang banyak “kelebihan” berdiri di sebelah pemerintah walaupun sebahagian besarnya bertentangan dengan prinsip-prinsip urus tadbir yang baik dan konsep “caretaker government”.

Namun terbukti Pas tidak lagi menghormati banyak prinsip-prinsip yang diperjuangkannya dulu. Pas sudah tersilau dengan keasyikannya menikmati kuasa, walaupun diperolehi secara tidak demokratik.

Dalam episod pertelingkahan Bersatu-Umno ini, kita boleh menjangkakan apa pilihan Pas, apatah lagi jika risikonya adalah kehilangan kuasa. Tiada lagi pertimbangan Islami seperti sering dicanangkan; terbukti Pas hanya seperti parti politik lainnya.

Tiada ulasan: