"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Air hujan tak lagi selamat diminum

AFP

Antartika turut merekodkan tahap PFAS 14 kali lebih tinggi daripada garis panduan ditetapkan. (Gambar AFP Relaxnews)

STOCKHOLM: Air hujan di seluruh dunia tidak lagi selamat untuk diminum disebabkan tahap baharu bahan kimia toksik dikenali sebagai PFAS kini melepasi garis panduan terbaru, menurut kajian baharu oleh saintis di Universiti Stockholm.

Bahan kimia PFAS digelar “forever chemicals” kerana mengambil masa amat lama untuk terurai, dan pertama kali ditemui dalam bahan pembungkusan barang, syampu atau alat solek. Bagaimanapun ia kini telah tersebar ke seluruh alam sekitar termasuk air dan udara.

“Tiada tempat di dunia ini di mana air hujan selamat untuk diminum, berdasarkan sukatan yang dinilai kami,” kata Ian Cousins, profesor di universiti itu yang juga mengetuai kajian diterbitkan dalam Environmental Science and Technology kepada AFP.

Data dihimpunkan sejak 2010 yang dikaji pasukannya menunjukkan “tahap air hujan di Antartika atau dataran Tibet sekalipun melepasi garis panduan air minuman dicadangkan Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) AS,” katanya.

Dua lokasi berkenaan yang lazimnya dianggap paling bersih masih merekodkan tahap PFAS “14 kali lebih tinggi” berbanding garis panduan air minuman ditetapkan EPA.

EPA baru-baru ini menurunkan garis panduan PFAS secara signifikan selepas mendapati bahan kimia berkenaan berupaya menjejaskan tindak balas imun kanak-kanak terhadap vaksin, kata Cousins. PSAS yang diserap tubuh manusia akan terus terkumpul dalam badan.

Ada kajian menunjukkan pendedahan kepada PFAS juga boleh membawa kepada masalah kesuburan, merencatkan pertumbuhan kanak-kanak, meningkatkan risiko obesiti atau kanser tertentu selain meningkatkan tahap kolesterol.

Tiada ulasan: